Sunday, 24 February 2019

Belia Beliawanis Terengganu Perlu Sumbang Idea Bangun Negeri - MB

SHARE
Bual bicara kupas isu dan peluang belia Terengganu.
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Belia dan beliawanis Terengganu diseru melibatkan diri dalam pembangunan negeri kerana mereka adalah pemimpin masa depan.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berharap, belia negeri itu bangkit memainkan peranan dalam memilih pemimpin yang mampu memandu mereka ke arah lebih baik.

“Sebelum ini, ada pihak selalu membangkitkan bahawa belia bermasalah. Tetapi, itu cerita negatif, jadi biarkan mereka.

“Hakikatnya, belia merangkumi 45.8 peratus daripada rakyat Malaysia dan memainkan peranan menentukan kepimpinan masa depan,” katanya dalam Bual Bicara sempena Himpunan Belia & Beliawanis Negeri Terengganu (HEBAT 2019) di Stadium Negeri kelmarin.

Beliau yang menjadi ahli panel bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah turut memuji para belia yang memiliki idealisma berbeza daripada generasi sebelumnya.

Antara persembahan yang menghiasi HEBAT.

“Belia banyak maklumat dan mereka mampu mengubah dunia.

“Usia belia adalah waktu ideal untuk menyumbang sesuatu kepada negeri dan negara melalui penglibatan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Sukairi turut mengingatkan para belia supaya mengubah sikap dan cara berfikir.

“Belia Terengganu harus berusaha untuk mencipta sejarah kehidupan mereka sebagaimana Wira Darul Iman yang hadir hari ini,” katanya.

Dalam program tersebut, enam pemuda yang membantu menyelamatkan sebuah keluarga daripada lemas di Pulau Warisan baru-baru ini telah dianugerahkan sebagai Wira Darul Iman.


Mereka masing-masing menerima sumbangan bernilai RM3,000. Manakala, keluarga almarhum Abdul Bari Mohd yang terkorban dalam kejadian itu menerima sumbangan wang tunai bernilai RM10,000 sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Ustaz Kamaruzaman Abdullah dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: