Monday, 18 February 2019

Ar-Syarwan Mahu Pergi Jauh Dalam Dunia Nasyid

SHARE



Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 18 Februari- Kumpulan Nasyid Ar-Syarwan mahu melangkah lebih jauh dalam industri hiburan nasyid dengan cara dan gaya mereka yang tersendiri.

Ketua Kumpulannya, Mohamad Anas Ghazali, 20, berkata penubuhan kumpulan yang bermula dari minat yang sama menggunakan nama Ar-syarwan menggabungkan nama ahlinya iaitu Mohamad Anas Ghazali, Wan Muhd Ikhwan Wan Azam dan Mohd Syahid Al-Qardhawi Mohd Zulkifli. Ketiga-tiga mereka merupakan anak muda berasal dari Al-Muktafi Billal Shah (AMBS).

"Tahun 2017 menjadi titik permulaan kepada kami bertiga yang disatukan menerusi lagu Kumpulan Raihan iaitu lagu 'Sesungguhnya' yang kami nyanyikan ketika mula-mula dibentuk.

"Kami tampil dengan imej kasual dan bertopi, tidak mengenakan kopiah dan jubah, kerana mahu menarik perhatian anak muda kepada kumpulan nasyid bahawa tidak semestinya berjubah dan berkopiah sahaja yang boleh meminati nasyid," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, selepas persembahan mereka, di Program Hi-Tea bersama Adun Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor dan Pelancaran NGO PERHATIN, di Mayang Sari Resort, di sini, semalam.

Menurut Anas, mereka mula mendapat perhatian dari masyarakat setempat apabila memenangi tempat ketiga Pertandingan Nasyid Peringkat Wilayah KETENGAH.

"Selepas itu kami sering dihubungi untuk dijemput  melakukan persembahan di majlis-majlis formal dan majlis perkahwinan sekitar Negeri Terengganu.

"Kami berazam untuk terus mendidik jiwa masyarakat dengan mengingati Allah melalui lagu-lagu nasyid, " ujarnya.

Menurutnya, mereka buat masa ini telah menyiapkan dua lagu sendiri dan berazam untuk menyiapkan beberapa buah lagu lagi dan mengimpikan untuk menghasilkan album sendiri.

"Dua buah lagu yang kami cipta sendiri itu berjudul ' Al-Qaswa' yang membawa maksud unta dan 'Ujian Insan' yang sangat memberi makna dan kesan yang mendalam kepada kumpulan kami.

"Kerana lagu ini diciptakan khas bagi mengabdikan ingatan kami kepada insan yang telah meninggalkan kumpulan nasyid ini kerana telah dijemput Ilahi," katanya.

Ar-Syarwan boleh dihubungi untuk melakukan persembahan seluruh Terengganu, dengan menghubungi ketua kumpulannya, Anas Ghazali. (Nombor telefon : 011-51907868)

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: