Monday, 25 February 2019

Ahli Baharu PPK, Boleh Isi Borang SBMT

SHARE
Dr.Azman Ibrahim


KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang baharu mendaftar boleh memohon Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) tanpa dikenakan sebarang syarat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, SBMT merupakan pinjaman dengan dana dari kerajaan negeri yang dikecualikan dari syarat ini kepada ahli PPK.

“Saya ada menerima maklum balas rakyat yang memaklumkan bahawa selepas daftar ahli PPK, mereka perlu menunggu selama enam bulan barulah boleh isi permohonan SBMT sebagaimana yang termaktub dalam peraturan pinjaman sebelum ini.

“Namun pagi ini saya sudah sahkan dengan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang merupakan  urusetia SBMT tentang isu ini. Sebenarnya syarat daftar enam bulan sebagai ahli baharu boleh buat pinjaman ialah merujuk kepada pinjaman biasa dengan dana dari Lembaga Pertubuhan Peladang dan ianya tidak berkait dengan SBMT,” katanya dalam satu kenyataan kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Tambah Dr.Azman, selepas mendaftar dan disahkan menjadi ahli PPK, mereka boleh mengisi borang SBMT tanpa bergantung kepada syarat menunggu enam bulan yang dikenakan ke atas pinjaman-pinjaman lain sebelum ini.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas kesungguhan Pengarah dan seluruh warga staf LPP yang bekerja keras dalam menjayakan Program Jelajah Penerangan dan Dialog SBMT ke seluruh negeri.

Untuk rekod, Terengganu memperuntukkan sejumlah RM5 juta sebagai kemudahan pinjaman SBMT patuh syariah tanpa faedah kepada mereka yang menceburi sektor pertanian, penternakan dan perikanan  di negeri ini yang mana skim bantuan dalam bentuk barangan, perkakas, enjin, anak benih, peralatan dan bantuan kewangan  itu akan diuruskan LPP Terengganu sebagai urusetia.

Setiap individu  layak membuat pemohonan SBMT tidak melebihi RM50,000 atau nilaian kelulusannya bergantung kepada jenis sektor yang diceburi dan tempoh bayaran pinjaman bergantung kepada jenis perusahaan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: