Tuesday, 12 February 2019

ADUN Wanita Ziarah Mangsa Kejadian Pikap Terjunam Ke Sungai Di Pulau Warisan

SHARE
Zuraida (dua dari kanan) menemui Nurdiana Alwani (dua dari kiri) di rumahnya 

KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor semalam tidak melepaskan peluang menemui seorang mangsa kejadian sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terjunam di muara Sungai Terengganu berhampiran Pulau Warisan di sini pada malam 8 Februari lalu.

Zuraida  menziarahi mangsa, Nurdiana Alwani Jaafar, 33, di rumahnya di Kampung Lorong Surau Baru di sini bersama Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) DUN Ladang, Mohamad Ubaidah Tengah dan beberapa orang petugas Pusat Khidmat DUN tersebut yang lain.


Mangsa yang bekerja sebagai 'cleaner' di sebuah bank di sini merasa bersyukur kerana berjaya diselamatkan oleh orang ramai yang sedang memancing di kawasan berhampiran.


Beliau juga turut berdukacita dengan pemergian wira yang menyelamatkan mereka sekeluarga iaitu Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, yang disifatkannya sebagai seorang yang berhati mulia dan mereka sekeluarga terhutang budi sehingga ke akhir hayat.


ADUN wanita itu mendoakan agar mangsa dan tiga ahli keluarga lain yang terlibat, tabah menghadapi ujian dan takdir Tuhan itu.


"Semoga Allah SWT memberikan ketabahan kepada Puan Nurdiana sekeluarga menghadapi ujian ini," kata Zuraida.


Terdahulu dari itu, jenazah Abdul Bari Asyraf telah ditemui tersangkut di Jeti milik EPIC di muara Sungai Terengganu jam 7.12 pagi kelmarin dan kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk dimandi dan dikafankan.


Selepas itu, jenazah beliau dibawa ke Masjid Merbau Patah di sini untuk disembahyangkan dan disemadikan di kawasan perkuburan berhampiran selepas solat Zohor pada hari yang sama.


Dalam kejadian, Abdul Bari Asyraf dipercayai lemas ketika cuba menyelamatkan empat sekeluarga di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terjunam di muara Sungai Terengganu di Pulau Warisan di sini pada 8 Februari lalu. 




SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: