Sunday, 24 February 2019

ADUN Terengganu Lafaz, Tandatangani Ikrar Bebas Rasuah

SHARE
Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri, mengetuai lafaz ikrar.


KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Wakil rakyat Terengganu melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai komitmen untuk meningkatkan tahap integriti dalam pentadbiran negeri.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, intergriti dalam pentadbiran adalah sesuatu yang sangat penting dalam usaha untuk membendung permasalahan rasuah di Terengganu.

Jelasnya, kerajaan negeri sangat serius untuk menangani sebarang isu yang melibatkan integriti bermula daripada bawah hingga ke peringkat atas.

“Integriti merupakan aspek yang sangat penting dalam kita menjalani kehidupan seharian. Isu integriti bukan hanya terfokus kepada isu-isu rasuah sahaja, ia satu konsep yang besar.

“Pelaksanaan program ini yang melibatkan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri menunjukkan kesungguhan pihak kerajaan negeri bagi melibatkan semua pihak dalam mencapai ketelusan,” katanya.

Adun-adun terengganu turut berikrar.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani IBR Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) , Haji Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu, Dato' A. Rahman Yahya, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Sri Mohd Shukri Abdull, Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Zaki Hassan,  semua ADUN Terengganu serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Terdahulu, majlis ikrar yang melibatkan semua ADUN Terengganu itu diketuai oleh Dr. Ahmad Samsuri sambil disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato' Sri Mohd Shukri Abdull.

Dr. Ahmad Samsuri menyerahkan dokumen ikrar kepada KP SPRM. 

Untuk rekod, Terengganu merupakan negeri kedua yang melaksanakan Majlis Menandatangani IBR selepas Sarawak.

IBR merupakan satu inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh SPRM hasil cetusan idea oleh mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

IBR memberi penekanan kepada setiap individu yang menandatangani ikrar tersebut agar lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama mereka memegang jawatan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: