Sunday, 3 February 2019

6,000 Saman Dikeluarkan Sepanjang Ops Selamat

SHARE
Yahaya (kanan) memakaikan topi keledar kepada seorang pengguna jalan raya.
KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Sebanyak 6,000 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam Ops Selamat yang dilancarkan sejak  29 Januari lalu sehingga malam tadi.

Ketua Polis Negeri, Datuk Aidi Ismail berkata, daripada jumlah itu, 2,437 melibatkan enam kesalahan utama iaitu pandu laju, melanggar lampu isyarat,  menggunakan lorong kecemasan, potong Q, garisan berkembar dan penggunaan telefon bimbit.

“Pelaksanaan operasi itu memberi tumpuan kepada konsep ronda dan statik di kawasan yang kerap berlaku kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Terengganu 2019 berdekatan Bazar Padang Negara di Jalan Sultan Mahmud, di sini petang ini.

Program itu disempurnakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali.

Sebanyak 1,500 'goodies', termasuk 150 topi keledar diedarkan kepada pengguna jalan raya.

Datuk Aidi turut memberitahu, pihaknya menjangkakan berlakunya  peningkatan tiga kali ganda sehingga mencecah 150,000 buah kenderaan menggunakan laluan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2)  sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.


“Pertambahan di laluan itu akan menyebabkan berlaku kesesakan. Oleh itu pihak kami mengingatkan pengguna agar lebih berhati-hati dengan mematuhi peraturan bagi mengelak jumlah kemalangan daripada turut mencanak,” katanya.

Katanya, keadaan sama dijangka turut berlaku di jalan-jalan lain, oleh itu pihaknya menempatkan 200 anggota serta 38 pegawai polis di lokasi- lokasi yang telah dikenal pasti akan berdepan dengan masalah kelancaran aliran trafik.

"Kita menjangkakan dalam beberapa hari menjelang dan ketika perayaan tidak lama lagi, jumlah kenderaan akan meningkat kepada 40,000 buah setiap hari," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: