Monday, 4 February 2019

14,000 Pohon Lesen Motosikal Percuma Dalam Masa Tiga Hari

SHARE
Sharifah Mariani Mohd Khalid
Oleh:Najib

MARANG, 4 Februari - Permohonan Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) yang mula dibuka melalui atas talian dan secara manual bermula 1 Februari lalu mendapat sambutan yang menggalakkan apabila merekodkan 14,000 jumlah permohonan dalam tempoh tiga hari.

Statistik berkenaan diperolehi menerusi laman Facebook rasmi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah yang dimuatnaik, semalam.

Sementara itu, tinjauan Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI), sejak awal pagi mendapati Pusat Khidmat Masyarakat mula dikunjungi oleh orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut serta mendapatkan borang secara manual.

Seorang penduduk setempat, Sharifah Mariani Mohd Khalid, 26, berkata dia sudah lama menunggu saat dan peluang keemasan untuk mendapatkan lesen secara percuma berikutan kekangan kewangan yang dihadapi sebelum ini.

“Sebelum ini, saya ada rancang untuk membuat lesen motosikal dengan adik tetapi kekurangan duit terpaksa saya batalkan hasrat.

“Lebih 10 tahun saya bawa motosikal tanpa lesen dan saya hanya boleh bawa terhad di kawasan kampung sahaja,” katanya ketika ditemui di Pejabat Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Pengkalan Berangan, di sini, semalam.

Dia turut meluahkan rasa terharunya kerana berpeluang untuk memohon lesen motosikal secara percuma yang digerakkan oleh kerajaan negeri bagi meringankan bebanan keluarga malah berharap lebih banyak program yang memberi keutamaan kepada rakyat diadakan dari semasa ke semasa.

“Pada awal ura-ura program ini hendak dilaksanakan, saya rasa gembira tapi pada masa yang sama bimbang hanya sekadar khabar angin tetapi betul-betul buat bukan sekadar janji kosong…saya memang teruja, Terima kasih menteri besar dan kerajaan negeri," katanya lagi.


Untuk rekod, seramai 25,000 golongan muda di negeri ini disasarkan menikmati manfaat mendapatkan lesen motosikal yang terkandung dalam Manifesto PAS Negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Pemberian lesen motosikal secara percuma kepada warga Terengganu jelas antara usaha untuk membantu kehidupan rakyat. Ini kerana motosikal menjadi antara pengangkutan utama di Terengganu terutamanya untuk penduduk di kawasan luar bandar.

Mereka yang berusia 16 hingga 40 tahun serta layak boleh membuat permohonan secara atas talian dengan serahan borang di mana-mana pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN), i-MiTS atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan masing-masing
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: