Sunday, 24 February 2019

10,000 Judul Tunggu Peminat Buku Di PPAT - MB Terengganu

SHARE
Dr. Samsuri membelek naskhah al-Quran terjemahan yang turut dijual. 
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Sebanyak 10,000 judul buku daripada 74 penerbit seluruh negara disajikan kepada penggemar buku sepanjang Pesta Buku@PPAT 2019.

Pesta buku berkenaan dianjurkan Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) sebagai salah satu usaha penting institusi tersebut untuk memupuk budaya membaca dan melahirkan modal insan berkualiti di kalangan rakyat negeri itu.

Menteri Besar,  Dr. Ahmad  Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri sedia menyambut baik mana-mana kempen yang dapat melahirkan modal insan oleh mana-mana pihak.

“Pesta Buku yang diadakan bermula hari ini merupakan wadah pertemuan peminat buku yang dinanti-nantikan saban tahun.

“Kita ingin menghidupkan budaya membaca yang semakin terhakis tetapi ia perlu dipertahankan supaya kekal relevan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Buku@PPAT 2019 di institusi berkenaan, hari ini.
Dr. Samsuri melakukan gimik pelancaran sambil diperhatikan SUK Negeri, Dato' A. Rahman, Pengerusi PPAT, Ridzuan Hashim (tengah) dan Pengarah PPAT, Marzialina Mohamed.
Beliau yang hadir bersama isteri, Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut berkongsi pengalamannya berdamping dengan buku selain senarai buku-buku yang sedang dibacanya.

“Sejak kecil lagi saya memiliki ‘passion’ terhadap buku. Tetapi, waktu itu variasi bacaan saya pelbagai dan tidak tetap kepada satu jenis seperti The Hardy Boys, siri Enid Blyton dan sebagainya.

“Syabas saya ucapkan kepada PPAT atas kejayaan menganjurkan pesta buku tahun ini. Semoga usaha ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT,” katanya.

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang peminjam terbanyak tahun 2018 iaitu Fatihah Aqilah Fathi Aziz (680 buah buku) bagi kategori kanak-kanak dan Sharifah Izzati Syed Abdullah (138 buah buku) bagi kategori dewasa.

Mereka berdua masing-masing menerima hadiah wang tunai bernilai RM500.

Terdahulu, Dr. Samsuri sempat meluangkan masa melawat gerai-gerai jualan buku selain ruang aktiviti dan bacaan di PPAT.

Pesta Buku@PPAT 2019 berlangsung selama seminggu bermula hari ini dibuka seawal jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 10.30 malam.

Sehingga jam 12.00 tengahari ini, lebih 4,000 ulat buku telah berkunjung ke PPAT untuk menikmati bahan bacaan terbaik.

Selain bahan bacaan, program berkenaan turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung yang hadir.

Adik Fatihah pinjam 680 buah buku, raih hadiah peminjam terbanyak 2018. 


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: