KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Kerajaan negeri melalui Yayasan
Terengganu akan menaja anak Terengganu yang melanjutkan pelajaran di Darul
Huffaz TATI Skill (DHTS) bertempat di TATI Skill Sdn. Bhd., Jalan
Panchor, Teluk Kalong, Kemaman.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan
dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, DHTS yang
ditubuhkan pada Oktober tahun lalu menawarkan mata pelajaran sama seperti
aliran sekolah arus perdana selain memfokuskan bidang sains teknikal (tujuh
subjek) dan pengurusan dan perniagaan (enam subjek). DHTS telah memulakan
sesi pembelajaran pertama pada 1 Januari lalu dengan pengambilan 40 pelajar.
“Walau bagaimanapun, jumlah pelajar di kalangan anak
Terengganu masih tidak sampai separuh daripada yang mendaftar sedangkan kita
tawarkan tempat minima untuk 100 pelajar tahun ini.
“Justeru, saya mengharapkan anak-anak Terengganu di
luar sana ambil peluang ini, malah pihak Yayasan Terengganu juga bersetuju
untuk memberi penajaan kepada pelajar yang layak,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Majlis
Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Satiful berkata, pendaftaran untuk
kemasukan ke DHTS dilanjutkan sehingga 31 Januari khusus buat pelajar dari
madrasah dan pondok di seluruh Terengganu.
Kerajaan negeri berhasrat
menjadikan DHTS sebagai pusat persediaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) utama di Terengganu khususnya
kepada pelajar tahfiz dan pondok dengan menawarkan kaedah pembelajaran akademik
yang sistematik.
Pelajar yang berminat boleh hubungi
pejabat DHTS di talian 09-860 1103 atau 010-921 1245.
0 komen: