Sunday, 13 January 2019

Umat Islam Wajib Berpegang Pada Al-Quran Dan Sunnah

SHARE

Oleh: Ahmad Fadhilah

Marang, 13 Januari - Umat Islam perlu berpegang kepada ajaran al-Quran bagi melahirkan sebuah negara yang maju dan harmoni dan dalam masa yang sama melahirkan generasi ulul albab yang berjaya mengikut acuan kitab suci Allah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, tujuan di sebalik majlis yang diadakan ini bukan sekadar untuk mendengar kemerduan qari dan qariah yang mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran, tetapi untuk menghayati intisari pengajaran yang dibawa oleh al-Quran supaya dapat dijadikan panduan hidup.

Jelasnya, pada hari ini, umat Islam berdepan dengan pelbagai masalah sosial, keruntuhan akhlak, kepincangan budaya, keruntuhan institusi keluarga dan seumpamanya kerana umat Islam selalu lalai dan alpa kepada perintah Allah yang menyuruh kita berpegang dan kembali kepada al-Quran.

“Saya ingin menyeru kepada semua, marilah kita sama-sama memupuk semangat ukhuwah dan penyatuan sesama kita serta kibarkan dakwah dan bersama bangunkan negeri Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

“Kerajaan Terengganu berazam dan memberi komitmen yang tinggi untuk terus melebarkan risalah dakwah Islamiah berpandukan ajaran al-Quran dan as-Sunnah dengan penuh kesantunan tanpa mengabaikan hak dan kepentingan masyarakat umum,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Marang di Masjid Kampung Tebakang, Alur Limbat, baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong, Pegawai Daerah Marang, Mat Azmi Arshad dan Pegawai Agama Daerah Marang, Ustaz Engku Omar Amiruddin Engku Ali.

Seramai sembilan orang peserta bertanding mengikut kategori iaitu lelaki dan wanita.
Wan Amirul Shamnie Wan Rosli.
Sementara itu, Wan Amirul Shamnie Wan Rosli, 30, dinobatkan sebagai johan qari bagi peringkat Daerah Marang.

Beliau yang tinggal di Kampung Sena Rendang, bertugas sebagai bilal di Masjid Tengku Tengah Zaharah atau lebih dikenali Masjid Terapung.

“Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah kerana telah dinobatkan sebagai johan qari, saat yang ditunggu-tunggu selama ini akhirnya menjadi kenyataan.

“Sebenarnya saya telah menyertai pertandingan ini selama tiga tahun tetapi mungkin belum ada rezeki kerana gelaran johan belum lagi menjadi milik saya masa itu.

“Dan insya-Allah, apa yang juri beritahu sebentar tadi, akan saya perbaiki terutama dari segi fasohah (sebutan) yang saya agak lemah," ujarnya lagi.

Kesemua pemenang layak ke tilawah al-Quran peringkat negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: