Wednesday, 9 January 2019

Umat Islam Harus Fahami Isi Al-Quran - Dr Alias

SHARE
Dr. Alias bersama qari-qari yang bertanding.
Oleh: Safwan Syakir

KUALA NERUS, 9 Januari - Umat islam digalakkan menghayati intisari al-Quran dalam kehidupan seharian mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, tidak cukup sekadar membaca sahaja tetapi kitab suci itu mesti dihayati untuk memahami kalam yang telah dinukilkan Allah SWT kepada hamba-Nya.

"Rahsia kejayaan umat Islam terdahulu adalah mereka berpegang teguh dengan ajaran Islam sebagaimana diajarkan Rasulullah SAW," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Tilawah Al Quran Peringkat Kuala Nerus di Masjid Mengabang Telipot, semalam.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada qari dan qariah yang bertanding.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada johan qari dan qariah serta semua peserta yang terlibat dan berharap semoga wakil daripada Kuala Nerus terus cemerlang ke peringkat seterusnya dan meningkatkan lagi mutu pembacaan.

"Harapan saya, dengan adanya pertandingan sebegini generasi hari ini khususnya golongan muda akan lebih berminat mendalami ilmu al-Quran dengan penuh iltizam," katanya lagi.

Seramai lapan orang peserta telah mengambil bahagian terdiri daripada lima qari dan tiga qariah.

Johan qari, Mohd Farizul Abu Khari dan qariah, Fatimah Embong berjaya menggondol gelaran johan pertandingan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, sijil penghargaan dan piala pusingan.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato' Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: