Monday, 7 January 2019

Ubah Kurikulum, Tumpuan Ajaran Islam - Tun M

SHARE

KUALA NERUS, 7 Januari- Kerajaan Pusat akan melakukan beberapa perubahan dalam sistem pendidikan termasuk memberi penekanan kepada tiga aspek, iaitu penguasaan agama Islam, bahasa Inggeris serta sains dan teknologi.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, dalam usaha memulihkan dan memajukan negara selepas pertukaran kerajaan yang baharu, tiada peranan lain yang lebih utama melainkan  memperkasakan bidang pendidikan.

Katanya, pendidikan akan menentukan jenis manusia yang akan menjadi warga negara pada masa akan datang dan berharap sistem yang bakal diperkenalkan itu akan dapat membentuk rakyat yang lebih berwibawa serta mampu memajukan negara dengan lebih pesat berbanding sebelum ini.

"Tumpuan terhadap ajaran agama amat penting terutama nilai-nilai hidup yang patut dipegang oleh orang Islam.

"Saya harap semua warga pendidikan akan ambil perhatian perkara ini, kita akan mengubah kurikulum dalam sekolah-sekolah supaya tumpuan diberi kepada penguasaan ajaran Islam sebenar, penguasaan bahasa Inggeris dan penguasaan sains dan teknologi.

"Dengan ini kita fikir kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain di dunia," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ambil Cakna bersama Warga Pendidik Terengganu di Tabung Haji (TH) Hotel & Convention Centre,  di sini, hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri,Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman serta Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat; Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris.


Majlis berkenaan turut disertai kira-kira 1,000 warga pendidik seluruh Terengganu.

Tambah Tun Mahathir lagi, kerajaan perlu memainkan peranan bagi menentukan penguasaan pelbagai cabang ilmu di kalangan rakyat untuk kehidupan mereka dan juga kemajuan negara.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: