Sunday, 20 January 2019

Tingkat Kecaknaan, Azam Baru MPKK Felda Jerangau

SHARE

Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 20 Januari - Beriltizam dan bertekad meningkatkan kecaknaan terhadap penduduk menjadi azam baharu bagi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Jerangau.

Setiausaha MPKK Felda Jerangau, Rosalan Jusoh berkata, segala aspek perkhidmatan kepada masyarakat sewajarnya dipertingkatkan.

"Iaitu dengan cara menyelesaikan secara tuntas dan cepat segala permasalahan.

"Yang mana tidak boleh disegerakan, kita akan cuba bawa ke mesyuarat dengan memastikan langkah seterusnya dapat diatur dan dapat diselesaikan dengan jalan yang terbaik.

"Untuk memastikan MPKK dapat memberi khidmat dan kecaknaan yang baik dan secara menyeluruh, kita telah menetapkan matlamat untuk dicapai," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Gotong-Royong Menebang Pokok Besar di Felda Jerangau, semalam.


Roslan berkata, sebagai contoh, kecaknaan dan tindakan segera adalah sebagaimana gotong royong menebang pokok pada hari berkenaan.

"Kita telah menerima aduan di mana pokok besar ini boleh mengundang bahaya dan perlu pada tindakan segera,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi MPKK Felda Jerangau B, Anuar Omar berkata, kebiasaannya segala yang diputuskan akan melibatkan kesepakatan ketiga-tiga cawangan di Felda Jerangau.

"Kita akan cuba mengurangkan jurang perbezaan dengan mengambil pendekatan segala aktiviti dan gerak kerja akan diputuskan secara bersama.

"Hasil kesepakatan bersama ini barulah setiap sesuatu yang sukar itu menjadi senang dan mudah demi memastikan masyarakat akan sentiasa hidup dalam keadaan tenang dan harmoni," ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: