Monday, 7 January 2019

Terima Kasih Kerajaan Pusat Teruskan Lapan Projek JPS - MB Terengganu

SHARE


KUALA NERUS, 7 Januari - Kerajaan negeri dan seluruh rakyat Terengganu merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menyediakan peruntukan untuk meneruskan beberapa projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang tertangguh sebelum ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini selari dengan ucapan pembentangan YAB Perdana Menteri ketika membentangkan tonggak ketiga dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) iaitu “agenda pembangunan wilayah yang seimbang sebagai keutamaan" apabila peruntukan pembangunan yang lebih saksama kepada Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Projek-projek berkenaan adalah Rancangan Tebatan Banjir Kemasik dengan anggaran RM60 juta, Rancangan Tebatan Banjir Guntong Luar (RM5 juta) serta Rancangan Tebatan Banjir Gong Kiat (RM7 juta).

“Juga Rancangan Tebatan Banjir Kuala Terengganu Utara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan kawasan sekitar (RM10 juta), Pembangunan Sungai Bersepadu Kemaman (RM300 juta), Projek Muara Sungai Setiu (RM150 juta), Projek Muara Sungai Merchang (RM43 juta) dan Projek Menaik Taraf Pintu Air Taman Rakyat Dungun (RM1. 5 juta),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ambil Cakna bersama Warga Pendidik Terengganu di Tabung Haji (TH) Hotel & Convention Centre, di sini, hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah dan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin.

Dr. Ahmad Samsuri berkata, penghargaan dan ucapan terima kasih juga terhadap komitmen dan keprihatinan Kerajaan Persekutuan yang meneruskan projek di bawah Rolling Plan Yang Ketiga (RP3) dalam RMK11.

"Ini termasuk memperkasakan inisiatif pembangunan wilayah ekonomi pantai timur menerusi entiti East Coast Economic Region Development (ECERD), termasuklah mempertimbangkan projek ECRL pada skala yang munasabah.

"Sesungguhnya, kunjungan YAB Perdana Menteri ke Negeri Terengganu adalah cerminan komitmen semangat hubungan proaktif antara negeri dan Persekutuan yang dihormati dan akan terus diperkukuhkan bagi mewajarkan pembangunan wilayah yang seimbang, untuk kepentingan rakyat di negeri ini secara khususnya," katanya.

Tambahnya lagi, komitmen itu akan dapat membantu kerajaan negeri dalam meringankan beban rakyat terutamanya dari sudut ekonomi dan pembangunan infrastruktur yang diperlukan.

"Ini juga merupakan satu langkah permulaan ke arah permuafakatan dan kerjasama yang lebih erat di masa hadapan untuk kepentingan bersama serta menjadi pemangkin ke arah Terengganu yang lebih berdaya saing, bagi melengkapkan sasaran Malaysia sebagai pemain ekonomi global,"kata beliau lagi.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: