![]() |
Kerajaan negeri prihatin akan permasalahan kewangan pendidikan tinggi. |
DUNGUN, 29 Januari - Kerajaan Negeri Terengganu menyediakan biasiswa dan pinjaman kepada mahasiswa anak negeri tersebut untuk
menyambung pengajian mereka ke tahap yang lebih tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan
Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, kerajaan juga membuka
kembali pinjaman yuran kepada pelajar yang telah mendapat tawaran daripada
Institut Pengajian Tinggi (IPT) sekiranya memenuhi syarat-syarat pemohonan.
"Walaupun ada pelajar yang kurang cemerlang tetapi
mendapat tawaran daripada universiti untuk menyambung pengajian, maka mereka berhak
mendapat pinjaman.
“Bagi
golongan asnaf pula, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) turut menyediakan sumber kewangan Bahagian Pendidikan dalam bentuk
biasiswa yang boleh dipohon daripada masa ke masa.
"Manakala,
peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) yang tidak cukup pinjaman kerana kos yurannya yang tinggi, mereka boleh buat pemohonan pinjaman dengan
Yayasan Terengganu," katanya ketika berucap pada Majlis Dialog Mahasiswa
Mahasiswi Dungun Bersama Exco Pengajian Tinggi dan Ahli Parlimen Dungun di Dewan
Sivik Batu 48, semalam.
Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka
memaklumkan, sebahagian hasil perolehan negeri akan dibahagikan untuk kepentingan
pendidikan mahasiswa.
"Kita telah merancang bajet-bajet kewangan untuk
pendidikan setelah selesai membentangkan Bajet 2019 dalam persidangan Dewan
Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.
“Sebahagian
pendapatan kerajaan negeri akan digunakan untuk keselesaan mahasiswa belajar
tanpa dibelenggu masalah kewangan dan sebagainya,” katanya.
Satiful
Bahri turut berharap mahasiswa yang mendapat peluang tersebut menggunakan
sumber pinjaman itu dengan perkara berfaedah dan seterusnya dapat menjadi pemimpin
masa depan negara yang lebih baik.
Turut hadir,
ADUN Rantau Abang, Alias Harun, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Pegawai
Penyelidik Menteri Besar Terengganu, Azman Shapawi Abd Rani.
0 komen: