Thursday, 31 January 2019

Terengganu Inc Penaja Terbesar TSG

SHARE
Ustaz Wan Sukairi (tengah) bersama syarikat-syarikat penaja Terengganu Inc TSG. 
KUALA TERENGGANU, 31 Januari - Syarikat kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) memberi tajaan kepada Terengganu Cycling Team (TSG) sebanyak RM3 juta mendahului 22 penaja terkenal lain.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, TSG menerima sejumlah RM8.03 juta penajaan berbentuk wang, barangan dan perkhidmatan daripada 23 penaja terkemuka dunia dan peringkat nasional termasuk Terengganu Inc.

Katanya, penajaan berbentuk kewangan berjumlah RM5.15 juta manakala penajaan berbentuk barangan berjumlah RM2.56 juta di samping perkhidmatan, berjumlah RM315,000.

"Dengan kesudian Terengganu Inc menaja pasukan Terengganu Cycling Team sebagai penaja terbesar, bermulanya musim 2019, pasukan ini akan mempunyai nama rasmi baharu iaitu Terengganu Inc. TSG," jelas beliau.

Dr Ahmad Samsuri berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah pada Majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Pelumba Serta Barisan Penaja Pasukan Terengganu Inc TSG di Dewan Gemilan Primula Beach Hotel di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Eksekutif Pasukan Terengganu Inc TSG, Dato’ Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan jurulatih pasukan tersebut.
Ustaz Wan Sukairi (berdiri tengah) bersama pelapis muda Terengganu Inc TSG..
Menurut Dr Ahmad Samsuri, Terengganu Inc TSG diwakili oleh sembilan anak Terengganu dan enam pelumba import termasuk dari Rusia, Australia, Singapura, Eritrea, Mongolia dan Algeria.

"Pelumba-pelumba import yang diambil adalah bagi memperkuatkan pasukan di samping berfungsi sebagai 'marketing tools' bagi mempromosikan Terengganu Inc TSG di negara masing-masing," jelasnya.

Katanya, kemuncak kecemerlangan Terengganu Inc TSG adalah pada musim 2018, apabila pasukan itu mula diiktiraf oleh penganjur-penganjur di Eropah dengan jemputan-jemputan perlumbaan 'Union Cycliste Internationale' (UCI), diterima dari Perancis, Hungary, Croatia dan Azerbaijan.

"Ini merupakan satu pengiktirafan yang membanggakan apabila Terengganu Cycling Team yang ditubuhkan oleh pihak kerajaan pada tahun 2011 bertujuan mempromosi negeri kepada dunia luar," katanya lagi.

Menurut beliau, bermula musim 2019 Terengganu Inc TSG telah mula mendapat jemputan siri-siri perlumbaan di Asia Tour, Europe Tour dan Afrika Tour.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: