Tuesday, 15 January 2019

Tarikh Tutup Sagu Hati Kelahiran 28 Februari Ini

SHARE

KUALA TERENGGANU,  15 Januari - Bayi yang lahir bermula 1 Januari hingga 31 Disember tahun lalu layak mendapat sagu hati kelahiran dari Kerajaan Negeri Terengganu bagi tahun 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri,  Haji Hanafiah Mat berkata,  sagu hati itu akan diberikan kepada penjaganya sekiranya bayi berkenaan lahir di negeri tersebut dalam tempoh itu. 

Manakala tarikh tutup permohonan untuk sagu hati kelahiran bagi tahun lalu selewat-lewatnya pada 28 Februari ini. 

Menurut Haji Hanafiah,  syarat lain untuk mendapatkan sagu hati berkenaan ialah ibu bapa bayi yang bukan warga Terengganu mesti menetap di negeri itu melebihi tempoh 10 tahun. 

Bagaimanapun katanya,  sumbangan hanya berbentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional, bukan berbentuk wang tunai. 

Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini, mengulas tentang insentif berkenaan. 

Haji Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Chukai berkata, borang permohonan untuk tujuan itu, boleh diperolehi di lapan buah Pejabat Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) di seluruh negeri dan mesti dihantar ke pejabat tersebut sebelum atau pada tarikh tutup permohonan. 

Menurutnya,  setiap kelahiran bayi pertama hingga keenam,  bayi itu layak mendapat sagu hati sebanyak RM100 seorang. 

"Setiap kelahiran bermula bayi ketujuh sehingga ke-10, sagu hati untuk bayi berkenaan meningkat sebanyak RM100 setiap satu kelahiran.

"Ini bermakna kelahiran ketujuh mendapat RM200, kelahiran kelapan mendapat RM300, kesembilan RM400 manakala kelahiran ke-10 mendapat RM500," ujarnya. 

Katanya, setiap satu kelahiran selepas itu dikira sagu hati sebanyak RM500 sekali gus sebagai sagu hati maksima yang diberikan Kerajaan Terengganu kepada bayi berkenaan. 

Untuk keterangan lanjut, ibu bapa atau penjaga bayi tersebut boleh menghubungi nombor telefon pejabat YPK sebagaimana tertera dalam iklan berkenaan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: