Thursday, 10 January 2019

Tanah RTB Akan Dipulangkan Sebelum Ogos Ini

SHARE

Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 10 Januari - Pemulangan semula tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) akan direalisasikan selewat-lewatnya hujung tahun ini, sebagaimana janji dalam manifesto PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, janji yang dibuat dalam manifesto lalu bukan sekadar 'omong kosong' yang hanya menarik pengundi semata-mata, sebaliknya satu perkara yang akan dilunaskan demi kepentingan rakyat terutama melibatkan tanah RTB di DUN itu.

"Sasaran kita sebelum Ogos 2019 kita akan memulangkan tanah RTB kepada tuan tanah pemilik asal zaman 1999 hingga 2004 sebagaimana janji dalam manifesto PAS Terengganu. Ianya mampu dilaksanakan dan bukan omong kosong.

"Walaupun agak susah dan rumit untuk menyelesaikan isu tanah ini, ada kalanya kita perlu bekerja dengan rileks dan santai," jelasnya lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri berkata demikian ketika ditemui selepas perbincangan bersama Pegawai-pegawai Pejabat Tanah dan beberapa orang Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang terlibat di Kedai Sate Jabi, di sini, petang semalam.


Menurut beliau lagi, pihaknya akan bekerja keras demi menjayakan sasaran itu dengan sokongan daripada semua jawatankuasa MPKK yang komited.

Beliau juga menegaskan, gerak kerja dan pengurusan pentadbiran di DUN Jabi mempunyai cara tersendiri yang pastinya akan berusaha untuk membangunkan kawasan setempat sepertimana sudah dirancang tanpa meminggirkan kepentingan mana-mana pihak.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: