Sunday, 27 January 2019

Solat Hajat Buka Tirai Pelancaran Jersi Terengganu FC 2019

SHARE

Oleh: Dzakaria Mohd Salleh

KUALA NERUS, 27 Januari - Pasukan Terengganu FC (TFC) memulakan Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain TFC 2019 dengan solat hajat secara berjemaah di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, malam tadi.

Program solat hajat itu dihadiri para pemain dan pegawai Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan para penyokong tegar Skuad Penyu itu.

Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim yang mengimamkan solat hajat tersebut sempat menasihati para pemain supaya dapat menjadi ejen dan model dakwah di dalam padang.

"Bagi tahun 2019, kita sarankan para pemain menutup aurat. Kita tidak memaksa, tetapi ia boleh menjadi medan dakwah kita kepada masyarakat.

"Para pemain merupakan idola bagi anak-anak muda Terengganu.

"Apabila pemain menutup aurat dan berjaya mencipta kejayaan dalam liga atau piala, anak-anak Terengganu akan mencontohi cara dan gaya kita," katanya sejurus sebelum melaksanakan solat hajat.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan pameran gerai serta pertandingan e-sukan, futsal dan berbasikal yang diadakan di sekitar stadium seawal jam lapan pagi lagi.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: