KUALA TERENGGANU, 26 Januari - Paya Bunga (PB) Hotel Terengganu menjadi bualan umum semenjak dibuka bulan lalu berikutan label ‘patuh syariah’
yang diperkenalkan hotel tersebut.
Ketua Eksekutif Syariah PB Hotel, Mohd Zamani Ismail
berkata, ramai yang menyambut baik usaha kerajaan negeri dalam memperkenalkan
konsep patuh syariah namun ada juga yang bertanya, bagaimana pematuhan syariah
itu dilaksanakan.
“Konsep patuh syariah atau mesra Muslim adalah jenama baharu
yang cuba diperkenalkan. Namun, sebenarnya ia telah dimulakan dalam bidang perhotelan sejak beberapa tahun dahulu.
“Apa pun nama yang diperkenalkan, matlamat dan tujuannya
adalah sama iaitu ke arah melahirkan produk muamalat Muslim iaitu hotel yang
menampilkan konsep berlandaskan hukum syarak.
“Kita rakyat Terengganu patut rasa bangga wujudnya hotel-hotel yang ditetapkan sebagai hotel patuh syariah sebagai misi dan matlamat
untuk memberikan yang terbaik kepada masyarakat,” katanya ketika berucap dalam
Bicara Khas bersama TV Darul Iman di Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini.
Program bicara selama sejam itu menjelaskan konsep pematuhan
syariah yang disalah erti oleh sebahagian masyarakat. Mohd Zamani berkata,
tanggapan itu perlu diperbetulkan.
“Ada yang berpendapat, patuh syariah bermaksud penerapan
fizikal seperti mempamerkan ayat-ayat suci di dinding, pemakaian jubah dan
sebagainya. Perkara tersebut adalah ciri pelengkap kepada pematuhan syariah
yang dijalankan.
“Sebaliknya, apa yang ingin ditonjolkan adalah model sistem
berlandaskan syariah yang memperlihatkan Islam sebagai cara hidup melalui pengurusan
hotel daripada peringkat tertinggi sehingga ke bawah.
“Bukan hanya pada makanan semata-mata, tetapi pada pengurusan
kewangan dan sebagainya selain, meletakkan prinsip Islam sebagai dasar
pelaksanaan operasi,” katanya.
Katanya, PB Hotel berusaha memberikan layanan
dengan nilai-nilai Islam.
Buat peringkat awal, pengurusan meletakkan panduan supaya
semua kakitangan melaksanakan solat secara berjemaah dibantu imam yang
dilantik.
Pengisian agama secara berkala turut diadakan bagi membentuk
ketinggian akhlak kakitangan yang boleh disertai oleh pengunjung.
Mohd Zamani turut menegaskan, label patuh syariah tidak perlu
dijadikan halangan buat pengunjung bukan Muslim.
“Hentikan persepsi ini dan fahami bahawa Islam adalah cara
hidup yang ditetapkan Allah SWT menganjurkan hamba-Nya melakukan yang terbaik
dalam setiap tugasan.
“Bahkan, kami lebih banyak melaksanakan pematuhan syariah
melalui pendidikan dan bukan secara paksaan.
“Bagi pengunjung bukan Muslim, mereka tidak perlu menutup aurat tetapi digalakkan berpakaian menepati adab
ketimuran.
"Kita juga menyediakan kelengkapan yang mematuhi syariah untuk dipakai di kolam renang,” katanya sambil menyeru pengunjung dalam dan luar negara hadir dan merasai sendiri keunikan PB Hotel.
"Kita juga menyediakan kelengkapan yang mematuhi syariah untuk dipakai di kolam renang,” katanya sambil menyeru pengunjung dalam dan luar negara hadir dan merasai sendiri keunikan PB Hotel.
0 komen: