Tuesday, 8 January 2019

Sedia RM920,000 Jayakan Program Ilmu Agama Dan Kekeluargaan Di Setiap DUN

SHARE
YB Hanafiah bersama penjawat awam cemerlang dan kakitangan JKM bergambar kenangan


KUALA TERENGGANU, 8 Januari - Kerajaan negeri memperuntukkan RM920,000 dengan agihan RM30,000 bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bertujuan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kekeluargaan di DUN masing-masing.

Semua aktiviti yang dirancang seperti  hari keluarga, sukaneka, pelbagai kejohanan sukan patuh syariah dan  mengadakan  aktiviti keagamaan pada hari Jumaat akan diselia pihak berkaitan.

Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan terlibat sepenuhnya bagi menjayakan program yang dirancang..

Pendekatan itu sejajar dengan saranan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mengisytiharkan hari Jumaat sebagai hari ilmu dan Sabtu pula hari keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Haji Hanafiah Mat, berkata penganjuran hari ilmu sudah lama dianjurkan PAS dengan mengadakan pelbagai aktiviti di masjid-masjid dan surau di negeri ini.

Katanya, antaranya kuliah dhuha, ceramah agama, amanat Tok Guru dan perbincangan ilmu Tauhid, Usuluddin serta Fiqah.

“Malah tidak keterlaluan untuk saya  katakan bahawa Kuliah Pagi Jumaat di Masjid Rusila adalah kuliah  yang paling berjaya di Terengganu dan berkemungkinan juga di Malaysia.


“Aktiviti seumpama ini akan diperluaskan bertujuan mengeratkan hubungan kekeluargaan, meningkatkan budaya cintakan ilmu dan merapatkan silaturahim antara masyarakat setempat,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2019 Pegawai dan Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Wisma Darul Iman, hari ini

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: