Sunday, 13 January 2019

Sagu Hati Untuk Kelahiran Anak Pasangan Poligami

SHARE
Wan Sukairi (tiga dari kiri)  bersama anak Terengganu di Pasir Gudang, Johor semalam.
PASIR GUDANG, 13 Januari - Rakyat Terengganu termasuk yang berpoligami berhak mendapat sagu hati kelahiran anak pertama sehingga seramai mungkin pada kadar RM100 hingga RM500 bagi setiap kelahiran.  

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bagi kelahiran anak pertama sehingga keenam sama ada dari isteri pertama atau kedua,  mereka berhak mendapat sagu hati  sebanyak RM100 seorang.  

Sementara anak ketujuh pula jelasnya, mendapat RM200, anak kelapan (RM300), anak kesembilan (RM400) dan anak ke-10 (RM500).
Wan Sukairi (kanan) bersalaman dengan Haji Abdullah di Bandar Seri Alam,  Pasir Gudang malan semalam.
"Setiap kelahiran selebihnya diberikan sagu hati RM500 bagi menggalakkan rakyat Terengganu melahirkan ramai anak," katanya ketika menjawab soalan anak Terengganu di Johor di Majlis Ramah Mesra  Bersama Exco di sebuah restoran di Bandar Seri Alam,  di sini semalam.

Kira-kira 500 orang anak perantau Terengganu di Johor hadir di majlis berkenaan.  Turut hadir Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Haji Mohd Soud Said,  Pesuruhjaya PAS Johor,  Haji Abdullah Husain dan Ketua Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU), Haji Zulkifli Ibrahim.

Ustaz Wan Sukairi berkata,  setakat ini kerajaan negeri tidak mengambil kira jumlah keseluruhan kelahiran anak baharu dari pasangan berpoligami itu untuk diberi sagu hati berkenaan.
Wan Sukairi menyampaikan hadiah kepada seorang anak Terengganu di Pasir Gudang, malam semalam.
"Kita tidak mengira sekali gus jumlah anak yang lahir dari isteri pertama dan kedua tetapi kita mengambil kira jumlah kelahiran anak secara berasingan," ujarnya.  

Kerajaan negeri juga menerima beberapa cadangan termasuk sambungan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dari Kuantan ke Johor untuk kemudahan anak-anak Terengganu di negeri itu pulang ke kampung halaman mereka.  

Begitu juga dengan cadangan penerbangan sebuah syarikat penerbangan  dari Terengganu ke Johor perlu disambung semula setelah dihentikan tahun ini.
Wan Sukairi (tengah) bergambar bersama anak Terengganu di Pasir Gudang, Johor malam semalam.
"Saya baru menerima maklumat mengenainya dan saya akan rujuk kepada Exco Pelancongan mengenai perkara ini," jelas beliau.  

Dalam pada itu, rakyat Terengganu di perantauan turut mendapat hak untuk mendapat kemudahan yang hampir sama dengan anak negeri yang bermastautin dalam aspek mendapat lot tanah, peluang pekerjaan dan lain-lain.  

Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata,  anak negeri di perantauan juga berhak mendapat satu lot tanah untuk tapak rumah kediaman dari kerajaan negeri bagi mereka yang belum memiliki tanah berkenaan.  

Mereka juga berhak mendapat satu lot tanah pertanian bagi mereka yang bekerja sebagai petani.  

Di samping itu, katanya,  anak perantau juga berpeluang mendapat pekerjaan di Terengganu dalam industri silika yang akan dibuka tidak lama lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: