Wednesday, 9 January 2019

RM3 Juta Untuk Mantapkan Pasukan Hoki Terengganu

SHARE
Ustaz Wan Sukairi (dua dari kanan) mempamerkan jersi baru pasukan THT di Hotel Permai Kuala Terengganu malam kelmarin.
KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Kerajaan negeri dengan kerjasama anak-anak syarikat kerajaan (GLC) dan swasta memberi komitmen menyediakan peruntukan kira-kira RM3 juta bagi pembangunan sukan hoki Terengganu pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pasukan hoki Terengganu memerlukan tidak kurang RM3 juta untuk menguruskan pasukan bagi mencapai kejayaan dalam pelbagai kejohanan musim ini.

Katanya, pasukan hoki Terengganu mempunyai 10 pemain import, masing-masing lima orang untuk pasukan lelaki dan wanita.
Ustaz Wan Sukairi (tengah) bersama pasukan THT di Hotel Permai Kuala Terengganu malam kelmarin.
Menurut beliau, mereka terdiri daripada pemain profesional dari Korea Selatan, Khazakhstan, India, Wales dan Argentina yang membarisi kesebelasan pasukan hoki lelaki dan wanita Terengganu.

Ustaz Wan Sukairi berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita selepas  Majlis Pelancaran Jersi, Memperkenalkan Penaja dan Pemain Terengganu Hockey Team (THT) dan Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) untuk Kejohanan Hoki Malaysia TNB 2019 di Hotel Permai di sini malam kelmarin.

Bagi memantapkan pasukan, THT mempertaruhkan dua pemain import dari Argentina dan Korea Selatan termasuk Pablo Javier Travisan, Gonzalo Merino, Jung Manjae dan Jang Jonghyun. Sementara pemain dari Wales ialah Ant Daniel Kyriakides.

Tiga pemain import dari India dipertaruhkan untuk pasukan TLHT termasuk Man Meet Kaur, Jaswinder Kaur dan Jaspreet Kaur selain Domashneva Vera dari Wales dan Bakhavaddin Glizal dari Khazakhstan.
Ustaz Wan Sukairi (tengah) bergambar bersama pasukan TLHT di Hotel Permai Kuala Terengganu malam  kelmarin.
Pemain-pemain tersebut akan menambahkan lagi keupayaan pasukan menandingi pasukan lain di persada hoki Malaysia.

THT menyenaraikan seramai 32 pemain manakala TLHT seramai 22 pemain. Kedua-dua pasukan berkenaan masing-masing dilatih oleh Vikneswaran Iswarapatham dan Iman Gobinathan.

Cabaran pertama pasukan THT ialah Liga Hoki Malaysia dengan perlawanan Piala Sumbangsih bertemu UniKL di Stadium Batu Buruk, di sini 11 Januari ini.

SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: