Thursday, 3 January 2019

Ribut Tropika Pabuk: Hentikan Aktiviti Laut -Shaharizukirnain

SHARE
Shaharizukirnain (kiri)  meninjau keadaan pesisir pantai di Setiu.

SETIU, 3 Januari - Kira-kira 6,000 nelayan negeri Terengganu dinasihatkan tidak melakukan aktiviti perkapalan dan persisiran pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri sehingga ribut Tropika Pabuk berakhir.

Ahli Parlimen Setiu Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, rakyat Terengganu khususnya penduduk persisiran pantai juga diminta berhati-hati serta sentiasa 'update' dengan amaran-amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

"Sehingga kini, angin kencang yang dijangka melebihi 40 kilometer sejam telah mengakibatkan kerosakan pada bumbung rumah di beberapa kawasan di sekitar Setiu dan berkemungkinan berlaku bekalan elektrik, telekomunikasi terputus serta serpihan kaca, kayu dan besi berterbangan.

"Justeru, saya menggesa agar semua rakyat mengambil langkah berwaspada dan bersama-sama munajat meminta perlindungan Allah agar dijauhkan daripada perkara yang tidak diingini," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Shaharizukirnsin (tengah)  meninjau keadaan penduduk ketika menghadapi fenomena Ribut Tropika Pabuk.


Menurut beliau angin kencang yang melanda perairan Terengganu, Kelantan dan Pahang dijangka akan berterusan sehingga 5 Januari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa angin ribut Tropika Pabuk itu dijangka bergerak 15 kilometer sejam.

Keadaan ini membawa kepada hujan lebat, angin kencang berkelajuan 50 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ketinggian sehingga 4.6 meter di perairan Terengganu.

"Ia berbahaya kepada semua aktiviti laut dan orang ramai di nasihatkan menjauhi kawasan pantai dalam tempoh tersebut,"
ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: