Sunday, 13 January 2019

Rahsia Kejayaan Johan Qari Marang

SHARE
Wan Amirul dari Kampung Berangan Pak Ayu, Bukit Payong, ketika menyampaikan bacaan sebelum diumumkan johan qari pada pertandingan itu. 
Oleh: Aziz Hambali

MARANG, 13 Januari - Rahsia kejayaan johan qari Marang, Wan Amirul Syamnie Wan Rosli, 30,   adalah menjaga bacaan dengan guru atau musyafahah.

"Alhamdulillah, saya musyafahah (bacaan secara lisan dalam keadaan berhadapan) dengan guru tanpa putus. Memang langsung tidak putus. Sentiasa pergi.

"Saya mengaji al-Quran bergurukan Allahyarham Tuan Guru Haji Mad Jeram Manir dan Hajjah Maznah Kuala Berang," katanya ketika ditemui sejurus menerima hadiah kemenangan di Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Marang, di Masjid Tebakang, di sini, Khamis lalu (10 Januari).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Dan Teknologi Maklumat negeri, Sulaiman Sulong, Pegawai Daerah Marang, Mat Azmi Arshad dan Pegawai Agama Daerah Marang, Engku Omar Amiruddin Engku Ali.

Wan Amirul dari Kampung Berangan Pak Ayu, Bukit Payong, meraih tempat pertama selepas memperolehi 90 mata dan bakal membawa cabaran mewakili daerah ke pertandingan peringkat negeri bermula 29 hingga 31 Januari ini.

Beliau mengenepikan dua pesaing, Reemli Awang Teh, 56, yang mendapat markah 85.5 mata (kedua) dan Wan Mohamad Shahrul Azri Wan Mohd Azmi, 23 tempat ketiga dengan jumlah 84.5 mata.

Sementara johan qariah pula milik Noor Syahmun Muhd Noor (89.5 mata), naib johan dimenangi oleh NurAfiffah Zaki, 23, (85.5 mata) dan tempat ketiga, Hajah Raziati Mohd Ali, 53, yang memperolehi 78.5 mata.

Jemaah Hakim Majlis Tilawah Al-Quran bersepakat membahagikan markah kepada empat bahagian iaitu bahagian tajwid 35 markah, tarannum (25 markah), asohah (20 markah) dan suara 20 markah.

Syahmie yang bertugas sebagai bilal di Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai itu berasa begitu gembira kerana dinobatkan sebagai johan pada pertandingan kali ini.

“Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah kerana telah dinobatkan sebagai johan pada malam ini. Saat ditunggu telah menjadi kenyataan. Sebenarnya saya telah menyertai pertandingan ini sudah tiga tahun lepas, tetapi mungkin belum rezeki untuk mendapat johan.

“Insya-Allah apa yang juri beritahu sebentar tadi, akan saya perbaiki terutama dari segi fasohah (sebutan) yang saya agak lemah," katanya.

Kedua-dua johan qari dan qariah akan mara ke peringkat negeri bertempat di Dewan Berlian, Majlis Perbandaraan Kemaman, yang berlangsung tiga hari bermula 29 Januari ini.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: