Thursday, 24 January 2019

PUSPANITA Disaran Kuasai Ilmu Dan Maklumat

SHARE

KUALA TERENGGANU, 24 Januari - Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) disarankan supaya melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu baharu terutama teknologi terkini dan mempunyai minda yang terbuka bagi mendepani gelombang perubahan.

Isteri Menteri Besar, Tuan Faizah Tuan Ab.Rahman berkata, dalam era ledakan informasi dan ilmu pengetahuan pada ketika ini, PUSPANITA perlu mempunyai minda serta sikap yang terbuka, mampu memahami dan menangani perubahan selain sanggup menyesuaikan diri mengikut keadaan persekitaran.

Menurutnya, dunia kini menyaksikan ilmu dan maklumat menjadi sumber kuasa yang merangkumi hampir semua hal dan mereka yang menguasai ilmu dan maklumat pastinya akan mendahului.

“Kita sebagai ahli perlu pendedahan kepada pelbagai perkara seperti yang berlaku dalam sektor ekonomi, sosial serta politik kerana kita adalah isteri kepada anggota pentadbiran serta eksekutif politik.

“Misalnya kita menghadapi masalah, kita dapat memahami masalah tersebut dengan lebih tepat dan tahu cara mengatasinya. Begitu juga jika berjaya mencapai sesuatu kejayaan atau kemenangan kita mampu untuk mengekalkannya malah kita mampu menambah nilai kepada kejayaan  dan kecemerlangan tersebut supaya lebih terserlah,”kata beliau.


Tuan Faizah yang juga penaung kepada PUSPANITA Cawangan Terengganu  berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan  Puspanita Cawangan negeri Terengganu kali ke 35 di Dewan Besar Wisma Darul Iman,  di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Puspanita Cawangan Negeri Terengganu, To' Puan Kamsiah Dollah.

Dalam majlis yang sama , seramai 71 pelajar yang merupakan anak-anak PUSPANITA yang mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat sumbangan insentif sebagai tanda penghargaan yang diterima oleh Pengerusi PUSPANITA daerah masing-masing.


Tambahnya lagi, sumbangan wanita sama ada sebagai isteri, ibu serta pekerja dalam pembangunan bangsa dan negara adalah amat penting. Mereka bukan sahaja memainkan peranan utama dalam pembentukan generasi akan datang malah penyumbang ekonomi yang penting.

“Kaum hawa berada di mana-mana, menduduki pelbagai jawatan pelbagai, bak kata pepatah ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan kaum adam.

‘Ini menunjukkan wanita mempunyai peranan yang sangat besar bahkan dalam Islam telah meletakkan wanita dan lelaki saling berkait antara satu sama lain dalam menjalnnkan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi ini,”katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: