Sunday, 27 January 2019

Proses Mendidik Bukan Semudah Touch 'N Go

SHARE

Oleh: Siti Ainum

BESUT, 27 Januari - Tugas menyampaikan ilmu bukan semudah Touch 'n Go (bayaran tol sesuatu lebuhraya), bahkan ia perlu melalui proses tertentu.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, seorang guru perlu melaksanakan tugasnya dengan penuh tanggungjawab iaitu mengajar anak didik dengan ikhlas.

"Dalam proses pendidikan, kita sebagai guru mestilah melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu yang bersesuaian," katanya ketika merasmikan Kem Tahsin As-Solah anjuran i-MiTS Kota Putera di Institut Latihan Islam Pantai Timur (ILTIM), di sini baru-baru ini.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata, untuk menjadi pendidik yang berjaya seorang guru perlu menambah ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa.

Sebagai contoh, kata beliau, guru juga perlu mendalami ilmu dalam soal mengerjakan solat kerana ia tidak menjadi mantap selagi ilmu berkaitan tidak didalami.

"Dalam bab solat, kita tak boleh kata kita 'champion' walaupun kita sudah solat sejak kecil lagi. Kita mungkin hanya tahu tentang solat secara sepintas lalu sahaja, secara mendalam kita tidak tahu dan perlu belajar untuk mengetahuinya," ujarnya.

Mohd Nurkhuzaini juga berkata, menuntut ilmu juga berlaku dalam proses memberi ilmu kepada orang lain.

"Dalam proses kita memberi ilmu, memang akan ada prosesnya tersendiri bukan macam Touch 'n Go. Semua perkara ada proses yang perlu kita lalui.

"Dan dalam proses itulah kadang-kadang ada yang sesuai dan tidak sesuai dengan naluri kita. Dari situlah kita belajar," jelasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: