Saturday, 26 January 2019

Projek ECRL Perlu Diteruskan - Haji Amzad

SHARE
Haji Ahmad Amzad Hashim.
KUALA TERENGGANU, 26 Januari - Kerajaan Persekutuan perlu meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kerana ia disifatkan sebagai pemacu pembangunan Wilayah Timur. 

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim berkata, pembatalan kontrak ECRL dengan China Communication Construction Group Ltd (CCCC) tidak patut dimansuhkan begitu sahaja kerana ia adalah pemangkin pembangunan Wilayah Timur. 

"Saya harap pembatalan kontrak ECRL dengan CCCC bukanlah bererti projek yang telah dirancang berkenaan dimansuhkan begitu sahaja.  

"Sebelum Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) lagi PAS berpandangan projek ECRL ini bagus untuk menjadi pemangkin pembangunan Wilayah Timur semenanjung tetapi PAS tidak dapat menerima kos projek yang terlalu tinggi jika dibanding kos projek yang serupa dilaksanakan di negara lain pada kos yang jauh lebih murah," ujarnya. 

Beliau berkata demikian dalam satu status yang dimuat naik di laman Facebooknya, mengulas tentang kenyataan pembatalan projek berkenaan yang dibuat oleh Menteri Ekonomi, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali yang disiarkan oleh media di Kuala Lumpur hari ini. 

Menurut laporan itu, pembatalan projek ECRL yang diterajui CCCC diputuskan secara muktamad dalam mesyuarat Kabinet, Khamis lalu. 

Katanya, kerajaan memutuskan sedemikian kerana tidak mampu menanggung kadar faedah tahunan daripada projek berkenaan yang menjangkau hampir RM500 juta. 

Katanya, tanggungan faedah pada skala itu didapati tidak selari dengan kedudukan kewangan negara  pada ketika ini. Justeru kerajaan terpaksa membatalkan kontrak CCCC walaupun perlu membayar pampasan.

Mohamed Azmin memaklumkan, keputusan penamatan dibuat setelah CCCC tidak dapat menurunkan kos daripada RM81 bilion kepada RM40 bilion seperti diminta kerajaan manakala Kerajaan Pusat pula perlu menanggung kos faedah setengah bilion ringgit setiap tahun yang sangat besar kesannya kepada ekonomi negara. 

Haji Ahmad Amzad seterusnya berkata, atas kedua-dua alasan ini beliau mengira  kerajaan telah mempamerkan usaha untuk mengekalkan perbincangan dengan CCCC sehingga tiada lagi titik persetujuan dicapai. 

"Saya berharap kenyataan Azmin dalam erti kata lain mengalu-ngalukan pelabur lain dalam melaksanakannya sekali gus membuka jalan kepada alternatif lain dalam menjayakan projek berimpak tinggi ini yang sangat penting untuk seluruh Wilayah Timur. 

"Kerajaan perlu 'transparent' mendedahkan berapa jumlah kos yang telah dibelanjakan setakat ini ke atas projek ECRL dan berapa jumlah pampasan yang perlu dibayar atas pembatalan kontrak dengan CCCC ini dan siapa penerima-penerima pampasan ini dan berapa jumlahnya setiap satu," tegasnya. 
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: