Thursday, 24 January 2019

Perlu Pelan Tindakan Segera Tangani Kejatuhan Harga Minyak Sawit

SHARE
Ahli parlimen Kemaman, Che Alias Hamid-Foto ihsan Buletinonline.net


KEMAMAN, 23 Januari - Ekoran kejatuhan harga minyak sawit menerusi data yang dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Kerajaan Pusat disaran supaya menyediakan pelan tindakan segera bagi membantu memulihkan pendapatan pekebun kecil.

Ahli Parlimen Kemaman, Tuan Che Alias Hamid berkata, pelan tindakan segera yang holistik dan konsisten itu sangat perlu berikutan kesan kejatuhan harga minyak sawit menyebabkan pendapatan pekebun kecil terjejas.

Mengulas lanjut perkara itu, beliau berkata produk minyak sawit seharusnya diperluaskan bukan hanya tertumpu kepada kegunaan pengeluaran seperti minyak masak semata-mata yang tidak memberi kesan yang banyak kepada pekebun kecil . 

“Pendapatan lebih kurang 650 ribu pekebun kecil terjejas dan sebahagian besar daripada mereka tidak mempunyai sumber pendapatan lain untuk menyara keluarga.

"Saya menyarankan supaya Kerajaan menyediakan pelan tindakan segera bagi membantu pendapatan pekebun kecil akibat kejatuhan harga minyak sawit. Walaupun Kerajaan hari ini melakukan pelbagai insiatif dan usaha untuk memulihkan harga pasaran komoditi minyak sawit, namun apa pun usaha dilakukan memerlukan kajian secara holistik dan konsisten", katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Merujuk kepada data daripada MPOB harga minyak sawit berlaku penurunan iaitu pada paras RM 2,057.50 berbanding RM 2,232 untuk satu tan pada tahun lepas.

Ini disebabkan daripada stok minyak negara yang melebihi paras 2 juta tan dan ketidakstabilan pasaran global sejak tahun lalu.

Pada 17 Januari lalu, Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Industri Utama, Teresa Kok memaklumkan kerajaan komited untuk melaksanakan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPSO) bermula 1 Januari 2020 bagi mengatasi masalah ini.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: