Wednesday, 2 January 2019

Peniaga Pasar Jerteh Diharap Bersabar

SHARE
Mohd Norkhuzaini.
BESUT, 2 Januari - Para peniaga yang mengusahakan perniagaan di Pasar Jerteh (Jerteh Souq) diharap dapat bersabar sehingga keseluruhan kompleks itu dapat disiapkan sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Haji Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, kerajaan negeri mendengar dan prihatin tentang masalah serta rungutan para usahawan terbabit.

Katanya, antara punca masalah adalah kerana jumlah peniaga melebihi premis yang disediakan kerana fasa dua dan tiga pembinaan kompleks itu belum dapat disiapkan.

“Dia ada lagi fasa dua dan tiga yang akan siap nanti dan insya-Allah selepas daripada ini semua akan dapat.


“Cuma itulah apabila kita nak buat pembangunan  dia ada sedikit pengorbanan. Kita mengharapkan pengorbanan itulah  dapat jadi asas kepada peniaga kita  untuk sabar sedikit dan insya-Allah  pihak Majlis Daerah Besut (MDB) khususnya  akan menangani isu ini dengan baik.

“Saya mendapat khabar bahawa selepas daripada  ini pun untuk fasa dua  sepatutnya siap bulan Februari tetapi  telah hampir siap bulan Disember baru-baru ini," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata demikian ketika mengulas isu yang dihadapi oleh peniaga selepas merasmikan Majlis pelancaran Jom Singgah @ Beautiful Besut di Stesen Teksi Jerteh semalam.

Oleh itu, beliau berpesan kepada peniaga supaya dapat melunaskan bayaran sewa premis kepada pihak MDB agar pihak berkuasa tempatan dapat menggunakan kewangan tersebut untuk pembangunan yang lain.


“Begitu juga saya nak pesan kepada peniaga ini tentang bayaran sewa kepada pihak Majlis. Ini jangan duk kata ni hak kerajaan  kita tak payah bayar.

“Kerana dengan kadar sewaan inilah pihak Majlis dapat buat lagi  pembangunan yang seperti mana kita boleh tengok Jerteh sekarang ini tengah membangun,” katanya.

Justeru, beliau berikrar akan mengubah 'wajah' bandar Jerteh menjadi suatu lokasi perniagaan yang berdaya saing dan dapat menyediakan ruang perniagaan yang secukupnya kepada para usahawan.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: