Saturday, 19 January 2019

PASTI Fasa Awal Pendidikan Agama - Isteri MB

SHARE

Oleh: Aslam Wira

MARANG, 15 Januari - Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) adalah peringkat dan fasa pendidikan awal anak-anak di mana mereka diperkenalkan dengan asas pendidikan agama yang berteraskan al-Quran dan as-sunnah.

Isteri Menteri Besar, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman berkata, usaha untuk mendidik anak-anak dapat membantu mereka berhadapan dengan masyarakat di fasa seterusnya, kerana mereka sudah ada bekalan dan asas agama.

"PASTI akan berterusan memberi khidmat terbaik dari masa ke masa dan tidak akan terhenti perkhidmatannya. Malah akan sentiasa mendapat perhatian dan tempat di kalangan masyarakat dan ibu bapa sendiri.

"Saya berharap dengan ilmu yang dibekalkan di PASTI, ianya akan berterusan dan kekal dalam jiwa anak-anak," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas kunjungan mahabbah ke lima buah PASTI di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang melibatkan PASTI Seberang Marang, Bukit Gasing, Batangan, Pulau Kerengga dan Kelulut baru-baru ini (15 Januari).

Kunjungan tersebut bertujuan untuk menyantuni guru-guru dan anak-anak pelajar PASTI yang semakin bertambah bilangan saban tahun.

“Saya ingin mengucapkan syabas kepada guru-guru PASTI, walaupun mereka dibayar dengan gaji yang sangat kecil, tetapi mereka tidak pernah berputus asa menyampaikan ilmu bermanfaat kepada anak-anak kita.


"Semoga Tuhan membalas penat lelah mereka dengan saham-saham tersebut dalam melahirkan anak-anak yang beragama dan berintelektual," tambahnya.

Turut serta dalam kunjungan itu, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang, Haji Mohamad Embong dan Penyelaras PASTI DUN Rhu Rendang, Ahmad Nazirul Ismail.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: