Saturday, 12 January 2019

MPKK Terengganu Duta TTITC

SHARE

Oleh: Khairuddin Yusoff, Najib Ismail, Shahril Aswad 

HULU TERENGGANU, 12 Januari - Pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sebagai duta korporat Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC) membantu mempromosi serta menyalurkan maklumat berkaitan TTITC kepada masyarakat umum.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Maliaman Kassim berkata, MPKK hendaklah bertindak mempromosi serta menghebahkan apa-apa jua program yang dilaksanakan oleh TTITC.

"Sebelum ini kita dengar perkataan duta iaitu duta Malaysia, Bangladesh dan sebagainya, jadi sekarang ini MPKK menjadi duta kepada TTITC.

"Jadi MPKK boleh mempromosikan TTITC ini supaya menjadi satu badan yang menarik minat masyarakat untuk berebut menambah kemahiran," ujarnya.


Katanya, kaedah ini merupakan pemudah cara dan perantara di antara TTITC dengan masyarakat setempat bagi mendapatkan pelatih untuk setiap kemasukan di  TTITC.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Minggu Suaikenal Pelatih Baru 2019 dan Penyerahan Watikah Pelantikan kepada MPKK sebagai Duta Korporat TTITC bertempat di Kompleks TTITC, Kampung Teris kelmarin.


Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TTITC, Mejar (K) Dato' Haji Ajlan Mohamad, Timbalan Pengarah (Tajaan Pendidikan) Yayasan Terengganu, Dr. Hashim Azmi Haji Che Noh, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-Mits) Parlimen Hulu Terengganu, Ustaz Harun Md Esa dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata, pelatih perlu menggunakan serta memanfaatkan peluang diberikan bagi menggilap potensi dalam bidang perkayuan yang mendapat permintaan pasaran kerja hari ini.

"Saya rasa tenaga pengajar telah memberi maklumat berkenaan potensi serta kerjaya apabila kita berada dalam bidang latihan kemahiran khususnya perkayuan yang sentiasa diminati oleh masyarakat.

"Kalau kita tengok industri perabot memang mendapat sambutan yang sangat tinggi dalam permintaan pasaran," tambahnya.

Justeru itu, beliau berharap pelatih TTITC mengambil peluang dari pelbagai bidang yang ditawarkan sama ada lukisan pelan seni bina, pelukis rekaan dalaman dan sebagainya untuk menjana pendapatan.

"Kita datang sini untuk menimba ilmu mencari pengalaman dan kerjaya serta dapat duit poket.

"Saya harap pelatih di sini berfikirlah secara global dan meluas untuk masa hadapan," jelasnya.

Kerajaan negeri juga katanya, mengharapkan penguasa di sini boleh berusaha ke arah lebih luas supaya tenaga- tenaga ataupun keluaran negeri menjadi rebutan kepada syarikat yang ada di luar.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: