Wednesday, 16 January 2019

MPKK Kg Cina Gesa Segerakan Pembangunan

SHARE

KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Cina, di sini, menggesa pemaju supaya menyiapkan segera pembangunan yang dirancang berikutan pengambilan tanah di kawasan itu melibatkan kepentingan orang ramai.

Pengerusi MPKK Kampung Cina, Chua Kim Huat atau lebih dikenali Jefri Chua berkata, jika projek belum dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat, pihaknya berharap pemaju dapat  membersihkan kawasan terlibat yang kini menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

 “Tanah ini diserahkan kepada pemaju dan sekarang ini (kes pembiakan nyamuk) sudah beritahu kepada Ustaz Ahmad Shah (ADUN Bandar) dengan MBKT (Majlis Bandaraya Kuala Terengganu) melalui MPKK.

"YB (Yang Berhormat) tandatangan untuk suruh bersih kawasan ni. Kalau tidak kita boleh saman kerana tidak boleh dibiarkan begini," jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kampung Cina, di sini, hari ini.

Jefri berkata, kerajaan sebelum ini mengambil tanah tersebut daripada orang kampung yang terdiri daripada kaum Cina dan Melayu.

“Sudah tujuh, lapan tahun kawasan terbabit menjadi semak. Rancangan dia (pemaju) nak buat kondominium  40 tingkat.

“Kita sudah cadangkan supaya bersih dahulu dan buat tempat 'parking' sementara untuk jangka pendek.

“Pada masa panjang kalau ikut lunas undang-undang kerajaan perlu ambil balik. Tak boleh biarkan begini sampai 100 tahun,” ujarnya.


Justeru itu, beliau mencadangkan supaya dibuat parkir sementara untuk jangka masa pendek sebelum pembangunan untuk jangka panjang dapat dilaksanakan seperti dirancang pemaju.

Kata Jefri lagi, beliau juga dimaklumkan bahawa pada asalnya tanah tersebut diserahkan kepada pihak pemaju untuk dijadikan sebuah hospital swasta.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: