Tuesday, 1 January 2019

MPKK Kenal Pasti Murid Yang Tercicir Untuk Tindakan JPNT

SHARE
 Shafruddin mengiringi Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meninjau hari pertama sesi persekolahan tahun 2019 di Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Maryam di sini hari ini.
KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) disaran menjadi mata dan telinga dalam mengenal pasti murid berkeperluan khas di kawasan masing-masing yang masih belum bersekolah untuk tindakan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

Pengarah JPNT, Shafruddin Ali Hussin berkata, ketika ini terdapat  4,571 murid dan pelajar berkeperluan khas melibatkan sekolah rendah dan menengah  di seluruh Terengganu.

“JPNT akan pastikan mereka ini dibantu supaya tidak tercicir dari arus pendidikan negara tanpa didiksriminasi atau dipinggirkan dan kami beri jaminan tersebut.

"Oleh itu, ibu bapa tidak perlu bimbang untuk menghantar anak mereka bersekolah kerana guru yang terlatih akan membantu mereka menjalani sesi pembelajaran yang selesa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meninjau hari pertama sesi persekolahan tahun 2019 di Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Maryam di sini hari ini.


Seramai 21,160 murid Tahun Satu dan 9,398 murid prasekolah memulakan persekolahan mereka di seluruh Terengganu hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai amaran cuaca buruk yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia yang dijangka berlaku esok dan Rabu, Shafruddin berkata, JPNT telah mengarahkan semua pengetua dan guru besar membuat pelan tindakan khas yang sewajarnya.

“Kita sentiasa mendapat maklumat terkini daripada Jabatan Meteorologi dan pihak kami mempunyai kumpulan yang dibina dan diketuai oleh pegawai daerah masing-masing untuk bertindak.

"Saya ingatkan kepada pengetua dan guru besar yang berada di laluan yang berisiko banjir supaya bersedia memantau semua murid dan pelajar agar boleh pergi ke sekolah seperti biasa.

“Yang kita bimbang jika banjir berlaku kerugian dari segi harta benda dan fizikal sekolah itu sendiri tetapi kami berharap ia tidak berlaku,”ujarnya lagi.

Katanya, aspek keselamatan warga sekolah juga diberi penekanan utama selain meminimakan kerugian harta benda dan nyawa.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: