Tuesday, 22 January 2019

MB Terima Kunjungan 14 Delegasi Lombok Utara

SHARE
Dr Ahmad Samsuri bersama delegasi dari Bupati Kabupaten Lombok Utara, Indonesia 
KUALA TERENGGANU, 22 Januari- Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini menerima kunjungan hormat 14 delegasi dari Bupati Kabupaten Lombok Utara, Indonesia di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman. 

Kunjungan delegasi yang diketuai oleh Bupati Kabupaten Lombok Utara Dr. H. Najmul Akhyar itu bagi meneroka jalinan kerjasama yang boleh dimeterai antara kedua-dua pihak.

Dalam pertemuan tersebut, Dr. H Najmul memberikan taklimat kira-kira 30 minit mengenai peluang perniagaan dan pelaburan yang boleh diceburi pemain-pemain industri dari negeri ini termasuk di dalam industri perikanan dan pelancongan.

Dr Ahmad Samsuri turut memberi penerangan ringkas berhubung pembangunan semasa negeri ini.

Menurut beliau, terdapat beberapa persamaan antara Lombok Utara dan Terengganu termasuk dari aspek demografi masyarakat, pelancongan serta aktiviti nelayan yang merupakan antara sektor terbesar di daerah itu.


Katanya, antara kerjasama yang akan diusahakan termasuk dari segi sektor pelancongan supaya pelancong-pelancong yang datang ke Lombok Utara dimaklumkan tentang potensi pelancongan Negeri Terengganu, dan begitu juga sebaliknya supaya rangkaian pelancongan kedua-dua negara lebih meluas.

“Selain itu, Lombok Utara juga mempunyai industri perikanan yang besar dan kurang terdedah kepada masalah monsun sebagaimana di Terengganu.

“Di negeri ini, pada bulan Oktober, November, Disember, Januari dan sampai awal Febuari, kita berdepan dengan monsun yang sedikit sebanyak menjejaskan beberapa industri di negeri ini termasuk industri pembuatan keropok, pengeluaran ikan sardin dan bekalan domestik ikan-ikan kerana kita terpaksa mengambil bekalan ikan secara sejuk beku dari luar.

“Justeru, kita akan mempertimbangkan jalinan kerjasama berhubung perkara ini dengan Lombok Utara dan tindakan selanjutnya akan diambil perjalanan oleh Exco dan agensi terlibat,” ujarnya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada delegasi tersebut.


Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ A. Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim.

Di samping itu katanya, wakil delegasi tersebut turut menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang pendidikan dan kerajaan negeri bersedia untuk menerima pelajar-pelajar mereka melalui program pertukaran pelajar dan sebagainya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: