Tuesday, 1 January 2019

MB Terengganu Santuni Pasangan Kembar Tahun Satu

SHARE
Dr. Ahmad Samsuri meluangkan masa bersama pasangan kembar Dhiyauddin Arfan Mohd. Suhardi dan Dhiyauddin Arman   yang memulakan hari pertama persekolahan di Sekolah Tengku Ampuan Mariam, Kuala Terengganu, hari ini.
KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Pasangan kembar yang menyimpan cita-cita untuk menjadi arkitek antara warga baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Mariam, Kuala Terengganu, yang melangkah masuk ke Tahun Satu pada sesi persekolahan 2016 bermula hari ini berjaya mencuri tumpuan pemimpin nombor satu negeri, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, awal pagi tadi.

Kehadiran Dhiyauddin Arfan Mohd. Suhardi dan Dhiyauddin Arman menceriakan rakan-rakan dan guru sekolah tersebut dengan aksi dan gelagat tersendiri yang kelihatan teruja apabila Menteri Besar Terengganu menyapa mereka dengan penuh kemesraan.

Dr. Ahmad Samsuri meluangkan masa kira-kira 10 minit bersama pasangan kembar yang kelihatan ceria dengan memberikan kata-kata semangat untuk memulakan hari persekolahan dan belajar bersungguh-sungguh supaya menjadi orang yang berjaya.

Sementara itu, Dhiyauddin Arfan Mohd. Suhardi dan Dhiyauddin Arman kelihatan gembira meskipun terpaksa berpisah dan ditempatkan di kelas berasingan.

Tidak seperti murid yang ketakutan malah ada yang menangis, pasangan kembar berkenaan kelihatan tidak kekok malah gembira berkenalan dengan rakan baharu.

Dhiyauddin Arfan berkata, sejak semalam dia dan abangnya asyik menyusun buku dan perkakas sekolah ke dalam beg masing-masing malah turut bangun awal pagi kerana tidak mahu datang lewat.

“Saya dan abang bangun seawal pukul 6 pagi kerana tidak sabar untuk ke sekolah hari ini dan rasa seronok dapat pergi sekolah sebab dapat kenal ramai kawan baru dan cikgu baru.

"Abang tidak sama kelas dengan saya, dia di 1 Mawar namun tetap semangat nak sekolah walaupun terasa sedih sedikit bila terpaksa berpisah dengan abang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sekolah itu.

Menurut ibunya, Nor Azlina Ismail, 39, anak kembarnya itu memang sudah biasa berpisah sejak belajar di tadika lagi dan mereka tidak kekok apabila diberitahu tidak sekelas di sekolah berkenaan.

“Mereka amat teruja untuk mula bersekolah, malah sanggup bangun awal dan menyiapkan keperluan mereka secara berdikari.

"Pengalaman selama dua tahun di tadika sebelum ini membolehkan mereka berdikari jadi saya tidak bimbang untuk mereka sesuaikan diri dengan persekitaran sekolah ini dan semasa dalam perjalanan ke sekolah tadi mereka cukup teruja dan tidak ada tanda-tanda gemuruh atau takut," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: