Saturday, 26 January 2019

Masalah Tempat Solat Di Stesen Bas Kuala Besut Terengganu Selesai

SHARE
Kerjasama pihak berkuasa tempatan dan pemimpin masyarakat bantu selesai masalah rakyat.
Oleh: Saifullah Jusoh

BESUT, 26 Januari - Masalah tempat solat bagi pengguna Stesen Kuala Besut yang menjadi rungutan selama ini selesai apabila Majlis Daerah Besut membina ruang solat bagi kegunaan orang ramai di stesen itu.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azbi Salleh melahirkan rasa gembira dengan kerjasama antara Majlis Daerah dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pekan Baru yang dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan segera.

“Sebelum ini, Pusat Khidmat DUN telah menerima banyak aduan daripada orang ramai terutamanya pengguna Stesen Bas Kuala Besut yang tidak mempunyai tempat solat khusus dan selesa,” katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan ruang solat tersebut di Stesen Bas Kuala Besut baru-baru ini.

Dua ruang solat yang dibina bagi mengasingkan di antara lelaki dan perempuan itu cukup selesa bagi kegunaan orang ramai dan mampu memuatkan kira-kira lapan orang dalam satu-satu masa.
Azbi menampal tanda ruang solat simbolik perasmian.
Struktur dari papan yang menelan kos RM15,000 itu turut menarik perhatian orang ramai di stesen tersebut.

Azbi memaklumkan, kemudahan yang disediakan merupakan respon kerajaan terhadap keperluan rakyat.

"Saya berharap ruang solat yang dibina ini digunakan dan dijaga dengan sebaik mungkin agar keselesaan dan kemudahan ini dapat dirasai oleh orang ramai,” katanya.

Turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kuala Besut, Zulkifli Kadir dan Pengerusi MPKK Kampung Pekan Baru, Azman Hussin.
Ruang solat yang agagak kecil tetapi memberi keselesaan kepada pengguna stesen bas.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: