Monday, 28 January 2019

Malaysia Perlu Acuan Pendidikan Islam - Abdul Hadi

SHARE
Dr Ahmad Samsuri (kiri) dan Dato' Seri Abdul Hadi di Majlis Pecah Tanah SRI DQ di Marang semalam.
MARANG, 28 Januari - Malaysia perlu mempunyai acuan pendidikan sendiri mengikut iklim masyarakat berbilang kaum dan umat Islam seharusnya menjadi teras (dominan) dalam masyarakat tersebut.

Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang berkata, negara ini perlu kerajaan yang berdaulat untuk memayungi acuan ilmu itu.

Dengan ruang yang ada, acuan Islam diperkenalkan melalui pendidikan di sekolah-sekolah dan pusat pendidikan yang dibina sendiri oleh PAS.

"Dalam masa yang sama kita masuk ke universiti dan pusat-pusat pengajian, melalui ahli-ahli kita yang bergerak dalam jentera kerajaan untuk memasukkan roh itu ke dalam diri umat Islam. Itu kadar yang mampu kita buat," jelasnya.
Dato' Seri Abdul Hadi (dua dari kiri) menerima 'Mock Cheque' sebagai gimik derma untuk SRI DQ di Marang semalam.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Sekolah Rendah Islam Darul Quran (SRI DQ) di Kampung Cempedak, Jalan Batangan di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali dan Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Razak.

Abdul Hadi berkata, pembinaan SRI DQ adalah sebagai asas pendidikan ilmu fardhu ain di kalangan rakyat yang berkait dengan mengenal Tuhan, akhlak baik dan buruk, halal dan haram yang wajib dipelajari oleh setiap umat Islam.

"Setelah kita bina jati diri dengan ilmu fardhu ain kita boleh masuk mana-mana pusat pengajian mengikut bidang masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab fardhu kifayah, ilmu yang diwajibkan kepada umat Islam," jelasnya.

Sementara itu, Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, pendidikan adalah suatu perkara yang sangat besar dan penting dalam pembangunan sesebuah negeri mahupun negara.

"Penubuhan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI), Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) dan kolej-kolej Islam adalah menjadi bukti bahawa pendidikan awal kanak-kanak sehingga pengajian tinggi telah diletakkan sebagai fokus utama.

"Bahkan bila kita mengurus tadbir sesebuah kerajaan pun kita telah meletakkan agenda pendidikan sebagai keutamaan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu khususnya," katanya ketika berucap di majlis yang sama.

Hasilnya, kata beliau, pada tahun ini kerajaan telah menubuhkan SRIDI bahkan kerajaan juga telah menawarkan pelbagai biasiswa dan pinjaman pendidikan untuk anak negeri Terengganu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan profesional.

"Semua ini adalah usaha kita untuk membangunkan modal insan yang mempunyai kefahaman yang jelas terhadap Islam sebagai satu cara hidup di dunia ini. Usaha yang sebegini besar tentunya memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak kerana anggaran untuk menyiapkan SRI DQ tidak kurang dari RM5 juta.

"Kita amat mengharapkan sumbangan para individu yang prihatin, syarikat-syarikat dan badan-badan tertentu untuk berkongsi hasrat yang sama melihat tertubuhnya sebuah sekolah rendah Islam di DUN Rhu Rendang," jelas beliau.

Kira-kira RM7,000 disumbangkan oleh orang ramai untuk pembinaan SRI DQ di majlis berkenaan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: