Wednesday, 2 January 2019

Lukisan Mural 3D Perahu Tarikan Baharu Kuala Nerus

SHARE
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Haji Ariffin Deraman (belakang, kiri) dan timbalannya, Haji Sulaiman Sulung (belakang, kanan) bersama Pegawai Daerah Kuala Nerus, Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abd Jalil (belakang, tengah) dan duta pelancongan Terengganu, Mat Dan (depan) bergambar di atas lukisan mural perahu, baru-baru ini.

KUALA NERUS, 2 Januari - Konsep mengembalikan nostalgia perahu lama diterapkan dalam lukisan mural tiga dimensi (3D) yang terbaharu dihasilkan di daerah ini, selepas lukisan mural 3D lintasan pejalan kaki menjadi tarikan di Pantai Tok Jembal, sejak pertengahan tahun lepas.

Lukisan perahu yang mengambil masa seminggu disiapkan dan mula menjadi tarikan sejak Oktober lalu mampu mengembalikan nostalgia perahu lama Terengganu khususnya kepada generasi muda.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Nerus, Zuwislan Awang berkata, pengangkutan yang tidak lagi menjadi kenderaan utama masa kini, setidak-tidaknya mampu dikenang generasi terdahulu dan dihargai peranannya oleh generasi muda hari ini.

"Lukisan ini menjadi tarikan terbaharu pelancong dan pelawat ke daerah ini, seperti juga lintasan 3D di Dapo Pata, Tok Jembal yang dihasilkan pada Mei tahun lalu.  Jika lintasan pejalan kaki mengambil masa sekitar dua hari untuk disiapkan, perahu ini pula mengambil masa hampir seminggu.

"Selain sebagai lokasi tumpuan pelawat yang mengabadikan gambar bersama lukisan ini, ia juga sebagai medium menghargai bakat pelukis tempatan seperti Hatta Hashim yang bertanggungjawab menyiapkan seni kreatif ini,"katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman, semalam.

Dalam pada itu, Zuwislan berkata, lukisan perahu itu juga akan menjadi antara tarikan sempena aktiviti riadah dan sihat, Kuala Nerus Car Free Hour (KNCFH) yang berlangsung  di Dataran City Night game, Kompleks Gong Badak, di sini, pada 5 Januari ini (Sabtu).

Program yang diadakan pada Sabtu pertama setiap bulan sejak Januari dua tahun lalu bermula jam 7 pagi itu menjemput kehadiran semua masyarakat sekitar  untuk mengikuti pelbagai acara  seperti senamrobik, berbasikal, berjalan kaki dan berkasut roda sebagai amalan gaya hidup sihat.

Malah, beliau berkata, KNCFH yang menjadi acara mingguan itu juga turut menawarkan pelbagai cabutan bertuah yang pastinya memberi peluang kepada orang ramai pulang tanpa tangan kosong.

 

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: