Wednesday, 30 January 2019

Landskap Pembangunan Bandar Baru Kijal Terengganu Bakal Berubah

SHARE
Ustaz Hazri Jusoh.
Oleh: Alfian Mamad

KEMAMAN, 30 Januari - Landskap pembangunan Bandar Baru Kijal bakal berubah apabila beberapa cadangan projek pembangunan daripada Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) itu didirikan di sini.

Ini termasuk masing-masing sebuah universiti, kolej petroleum, Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan beberapa ratus buah Rumah Mampu Milik (RMM).

Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh berkata, cadangan itu dibuat memandangkan Kemaman adalah daerah pengeluar minyak maka amat sesuai projek berkenaan dilaksanakan di sini.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Pentas Bicara Kerajaan Sejahtera sempena Karnival Kijal Sejahtera, di Bandar Baru Kijal di sini baru-baru ini.

Katanya, beliau terkilan kerana bangunan yang tersergam indah dan dibina kerajaan dahulu tidak dimanfaatkan.

"Kerajaan baharu yang dipimpin oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan memikirkan bagaimana cara untuk menghidupkan Bandar Baru Kijal," katanya.

Karnival yang diadakan selama tiga hari tiga malam itu padat dengan berbagai aktiviti termasuk acara berbasikal 31 kilometer (Fun Ride), Konvoi ARC, cabaran kenderaan pacuan empat roda, futsal, booth pameran, bicara murabbi, Motor Show dan malam kesenian dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat setempat dan masyarakat luar daripada DUN berkenaan.

SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: