Tuesday, 8 January 2019

Kurangkan `BerFacebook', Banyakkan Baca Al-Quran - Dr Azman

SHARE


Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 8 Januari- “Kita seharusnya menjadikan membaca al-Quran sebagai amalan harian berbanding dengan menghabiskan lebih banyak masa melayari media sosial,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.

Menurutnya, sebagai muslim seseorang itu perlu mengurangkan aktiviti kurang bermanfaat seperti ‘berFacebook’ tanpa mengira waktu sebaliknya menjadikan al-Quran dan hadis sebagai rujukan dalam kehidupan.

"Kurangkanlah melayari laman sosial, perbanyakkan baca al-Quran yang penuh kemukjizatan ini paling kurang satu muka surat setiap hari.

"Sedangkan Instagram, Facebook, Twitter dan lain-lain boleh lihat berjam-jam, alangkah malangnya kita sekiranya tidak sempat membaca al-Quran,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu,di Masjid Chalok Kedai, di sini, semalam.

Turut hadir,  Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir, Pegawai Daerah Setiu, Rosdi Awang, Pegawai Penyelaras Langkap, Azmi Maarof dan Pegawai Penyelaras Permaisuri, Ustaz Zul Bahri Abdul Rahman.

Dr Azman, program sebegitu mampu meningkatkan lagi martabat tilawah al-Quran ke satu tahap yang membanggakan.

"Jadikanlah pusaka ini bukan setakat baca malah dijadikan petunjuk dan panduan hidup yang diberi jaminan tidak akan sesat selagi berpegang teguh kepada kedua-duanya," ujarnya.

Katanya, dengan mengimbau kesusahan Zaid bin Thabit dalam usaha mengumpulkan ayat-ayat al-Quran dari belulang-belulang, daun-daun, kayu, dinding suatu ketika dahulu untuk dijadikan satu mashaf, amatlah tidak patut berlaku kemalasan membaca dan memahami al-Quran di kalangan umat Islam.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jabi itu, mukjizat yang terkandung dalam al-Quran mengenai kadar jumlah air hujan turut dikaji oleh saintis dan diakui kebenarannya jelas menunjukkan kesosehan.

"Agensi Angkasa Lepas Amerika (NASA) menjalankan kajian selama empat tahun (2002-2006) akhirnya mengakui bahawa hujan yang turun dengan kadar yang sama setiap tahun,” ujarnya.

Beliau juga turut menjalankan kajian tentang mukjizat al-Quran dari perspektif Sains perubatan sehingga dapat menghasilkan sebuah buku 'Solat dari kajian Sains dan sebahagian kajian Sains berpandukan mukjizat yang ada dalam al-Quran'.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: