Thursday, 3 January 2019

Kunjungan Mahabbah Isteri MB Ke Sekolah Disambut Baik

SHARE

Oleh: Aslam Wira

MARANG 3 Januari - Isteri Menteri Besar Terengganu, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman meluangkan masa melawat beberapa buah sekolah di daerah Marang dalam beberapa siri kunjungan pada kali ini.

Di dalam kunjungan siri pertama hari ini, beliau sempat melawat empat buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Rusila, Sekolah Kebangsaan Marang, Sekolah Kebangsaan Gong Nangka dan Sekolah Kebangsaan Sentul Patah.

Tuan Faizah berkata program lawatan mahabbah diadakan bagi melihat sendiri keadaan dan suasana persekolahan di negeri ini dan ia mendapat sambutan baik daripada mereka.

"Saya amat berbesar hati dan gembira dengan peluang lawatan kali ini,  sebenarnya fokus saya adalah melawat pelajar-pelajar tahun satu, yang kita sedia maklum pelajar yang baru menempuh alam persekolahan.

“Tapi Alhamdulillah, saya melihat pelajar tahun satu di kawasan luar bandar lebih mempunyai keyakinan atau kurang meragam daripada pelajar-pelajar di bandar,"katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Pendidikan Daerah Marang.

Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rhu Rendang, Wahad Osman; Pengarah Majlis Tindakan DUN Rhu Rendang, Haji Daud Jusoh, dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Mohd Embong.


Menurut Tuan Faizah, terdapat sekolah yang mempunyai daya tarikan dan unik dari sudut kemudahan prasarana dan infrastruktur yang dapat membantu pelajar ke arah yang lebih baik.

"Namun, saya juga ada melihat beberapa sekolah yang perlu diberi penekanan dari sudut keselamatan anak-anak pelajar, dan berharap pihak berwajib dapat beri perhatian sepatutnya,"katanya lagi.

Sementara itu, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)Marang, Mohd Adnan Salleh berkata pihaknya merasa bangga di atas kecaknaan isteri kepada pemimpin nombor satu di negeri ini yang sudi menziarahi sekolah- sekolah tersebut.

"Ini juga merupakan kunjungan hormat julung kali yang kami terima daripada isteri Menteri Besar Terengganu.

“Dengan kehadirannya, diharap dapat memberi suntikan semangat khasnya sekolah yang telah dilawati beliau, kerana dari kunjungan tersebut kita boleh nampak akan kemesraan diantara pelajar tahun satu dan juga kakitangan sekolah,"ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: