Wednesday, 9 January 2019

Khairunnisa Dan NGO Bantu Madrasah Anak Yatim

SHARE

Oleh: Nooreni Abu Bakar

KEMAMAN, 9 Januari - Nasib malang yang menimpa Madrasah Anak Yatim Hafizatul Quran yang telah musnah di dalam kebakaran tidak berapa lama dahulu mendapat simpati dua badan bukan kerajaan (NGO).

Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa) bersama Pertubuhan Cakna Anak Yatim tampil membantu  dengan menghulurkan bantuan makanan dan lain-lain keperluan bagi meringankan beban mereka.

Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Hajah Rugayah Mahmood berkata, kunjungan serta bantuan dihulurkan  dengan rasa keprihatinan terhadap anak-anak yatim yang kehilangan tempat tinggal setelah terbakar baru-baru ini.

“Atas rasa prihatin kepada anak-anak yatim, beberapa NGO termasuk Khairunnisa tampil membantu dengan mengadakan ziarah ke madrasah sementara yang terletak tidak jauh dari tempat asal.

"Madrasah ini hanya menerima anak-anak yatim yang kematian ayah dan dibuka untuk pelajar perempuan sahaja. Setakat ini saya dimaklumkan terdapat 12 orang pelajar berusia antara 10 hingga 17 tahun di madrasah ini dari sekitar Kemaman," ujarnya yang juga ahli jawatankuasa Khairunnisa kepada pemberita, di sini semalam.

Mereka turut memberi sumbangan untuk menampung  menyiapkan bangunan madrasah yang baharu di samping barangan keperluan dapur.

Sementara itu, seorang lagi ahli jawatankuasanya, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, Khairunnisa akan menumpukan lokasi ziarah  kepada pusat-pusat yang memerlukan bantuan di lapan parlimen yang terdapat di negeri ini.

"Khairunnisa dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan akan sentiasa membantu menjaga kebajikan rakyat," katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: