Tuesday, 1 January 2019

Ketetapan Hari Jumaat Dan Sabtu Kesinambungan Kerajaan 1999-2004

SHARE
Dr Ahmad Samsuri (dua dari kiri) melancarkan Hari Ilmu di Majlis Sambutan Ambang Tahun Baru 2019 di Dewan Arena Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak di Kuala Nerus, semalam.
KUALA NERUS, 1 Januari - Kerajaan negeri menetapkan hari Jumaat sebagai hari ilmu manakala hari Sabtu sebagai hari keluarga mulai tahun ini agar rakyat Terengganu mempunyai peluang untuk menimba ilmu agama dan mengeratkan hubungan kekeluargaan sesama mereka.

Sebelum itu, PAS turut berbuat demikian ketika mentadbir negeri itu pada tahun 1999-2004 sekali gus ia satu kesinambungan dan kelangsungan perjuangan parti berkenaan untuk pendidikan dan kebajikan seluruh rakyat negeri tersebut.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri berhasrat menjadikan hari Jumaat bermula tahun ini sebagai hari ilmu di segenap sudut sama ada di daerah-daerah sehingga ke kampung-kampung di seluruh negeri Terengganu.

Manakala hari Sabtu pula ialah hari keluarga kerana keluarga adalah satu unit yang sangat penting bagi memberi kestabilan masyakarat sesebuah negeri.
Dr Ahmad Samsuri (tengah) bersama kepimpinan negeri Terengganu berdoa sempena Majlis Sambutan Ambang Tahun Baru 2019 di Stadium Tertutup Gong Badak Kuala Nerus semalam.
"Baik keadaan dan bentuk keluarga kita, akan membuahkan satu masyarakat yang baik keadaannya.

"Dan baik masyarakat yang ada di depan mata kita di negeri Terengganu ini, negeri kita akan menjadi negeri yang terbaik dan menjadi contoh kepada umat Islam di negeri-negeri lain dalam negara kita hatta kepada umat Islam yang ada di seluruh dunia," katanya ketika menyampaikan perutusan di Majlis Sambutan Ambang Tahun Baru 2019 di Dewan Arena Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak di sini semalam.

Sempena majlis berkenaan, Menteri Besar telah melaksanakan gimik pelancaran untuk mengisytiharkan kedua-dua hari berkenaan, disaksikan kepimpinan tertinggi negeri Terengganu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji A Rahman Yahya, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-ahli Parlimen.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang turut mengucapkan selamat tahun baru 2019 kepada seluruh rakyat negeri Terengganu dalam dan luar negeri sambil menyatakan majlis berkenaan diadakan setiap tahun tetapi ia diubah suai (rebranding) supaya ia mendapat keberkatan dari Allah SWT.

Dr Ahmad Samsuri juga turut melaungkan tiga kali takbir, bagi menyambut detik 12 malam bagi menandakan ketibaan tahun baru 2019.
SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: