Thursday, 10 January 2019

Kesempitan Hidup Keluarga Rohana Dapat Perhatian

SHARE

Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 10 Januari - Kesempitan hidup Rohana Mohamad di Taman Batin Perdana, Kampung Batin Seberang Takir hingga tidak dapat menjelaskan yuran persekolahan anak sepenuhnya mendapat perhatian Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus yang tampil menghulurkan bantuan.

Rohana mempunyai lapan orang anak dan enam daripada mereka masih bersekolah.

Wakil Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Fairul Nizam Salim telah berkunjung ke rumah Rohana kelmarin untuk menyerahkan bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan dapur untuk meringankan serba sedikit kesusahannya.

Turut serta, Pegawai Kebajikan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Badarul Inshan dan Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batin, Ustaz Khairul Aswani.

Menurut Rohana, kesusahan keluarganya menjadi semakin rumit apabila menjelang sesi persekolahan 2019 baru-baru ini yang memerlukan belanja agak besar untuk membayar yuran, membeli pakaian dan peralatan sekolah untuk enam orang anaknya yang masih bersekolah.

“Dengan sumbangan ini, saya sangat bersyukur dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus, i-MiTS Seberang Takir, dan MPKK Kampung Batin yang prihatin kepada keluarga kami,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, keluarga ini adalah antara mereka yang perlu dibantu.

“Dalam masyarakat, terdapat golongan yang memerlukan perhatian dan bantuan daripada pihak-pihak berwajib akibat desakan kos hidup yang semakin mencengkam,” ujarnya.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: