Sunday, 13 January 2019

Kerajaan Terengganu Terbuka Terima Teguran

SHARE
Wan Sukairi (tengah)  beramah mesra dengan anak Terengganu di Melaka semalam.
AYER KEROH, 14 Januari - Anak Terengganu di perantauan diminta menjadi penasihat kepada kerajaan negeri dan sentiasa mengikuti perkembangan pentadbirannya melalui saluran yang sah supaya maklumat sebenar sampai kepada mereka.

Ini kerana Kerajaan Terengganu hari ini adalah kerajaan rakyat,  semua pihak mempunyai hak memberi pandangan untuk memastikan kerajaan negeri berada di landasan yang betul.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO)  negeri,  Wan Sukairi Wan Abdullah berkata,  tidak ada halangan sesiapa yang mahu mengkritik kerajaan negeri tetapi ia perlu disusuli dengan cadangan yang membina demi kebaikan semua pihak sama ada rakyat ataupun kerajaan.

"Kritik membina tidak ada masalah (untuk dibuat oleh sesiapa pun) tetapi di samping kita kritik,  kita beri cadangan yang membina.

"Ini kerana Kerajaan Terengganu adalah kerajaan rakyat,  tidak ada masalah bagi kerajaan mendengar dan menerima semua pandangan yang membina bagi kebaikan kita bersama," katanya ketika menjawab soalan peserta sesi dialog di Majlis Ramah Mesra Bersama Exco di sebuah resort di sini semalam.

Turut hadir, Presiden Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU), Prof Dr Kamaruzaman Yusoff dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said.

Sementara itu, Wan Sukairi ketika bercakap kepada pemberita menjelaskan bahawa majlis seumpama itu akan diadakan di seluruh negara termasuk di Perak,  Kedah,  Perlis dan Pulau Pinang.
Wan Sukairi (tengah)  menjawab pertanyaan anak Terengganu di Ayer Keroh Melaka semalam.
Ia katanya bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara kerajaan negeri dengan anak Terengganu di perantauan.

Di samping itu, ia menjadi platform untuk menyebarluaskan segala maklumat mengenai  tawaran dan kemudahan disediakan oleh kerajaan negeri kepada rakyat yang tinggal dalam negeri Terengganu sendiri dan di perantauan.

Beliau mengharapkan rakyat Terengganu di perantauan sentiasa memberi cadangan dan pandangan membina kepada kerajaan negeri agar pentadbirannya lebih efisien.   
SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: