Thursday, 24 January 2019

Kerajaan Akan Selesai Projek Perumahan Padang Setengge

SHARE


Oleh: Hanif Hamdan

KUALA  TERENGGANU, 23 Januari - Kerajaan negeri akan memastikan Perumahan Padang Setengge, Hulu Terengganu   fasa tiga dan empat yang terbengkalai sejak sekian lama dapat diselesaikan secepat mungkin.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Muhyiddin Abdul Rashid berkata, kerajaan bersetuju untuk meneruskan projek yang terbengkalai itu dengan mencari pemaju yang baharu.

"Setelah berbincang beberapa kali, pihak kerajaan  bersetuju untuk menyelesaikan isu ini dengan membuka tender kepada mana-mana pemaju yang berkeupayaan untuk menyelesaikan projek Perumahan Padang Setengge.

"Dianggarkan RM8 juta hingga RM10 juta diperuntukkan untuk membaik pulih projek itu  dan sehingga kini pihak kerajaan masih membuka kepada mana-mana pemaju untuk  memohon menyelesaikan masalah ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Wisma Darul Iman pagi ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan menyiapkan projek itu secepat mungkin setelah pemaju baharu dipilih berikutan perjanjian dengan pemaju lama telah berakhir pada tahun lepas.

"Setelah meneliti perjanjian sebelum ini, kita dapati perjanjian dengan pemaju asal telah tamat tempoh pada Oktober 2018.

"Sebaik sahaja pemaju baharu dipilih, kita akan segera menjalankan kerja-kerja ini dan insya-Allah kita harap boleh diselesaikan dalam masa yang cepat," tegasnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: