Saturday, 26 January 2019

Kempen Cegah Jenayah Syariah Didik Rakyat Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 26 Januari - Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk memastikan rakyat di negeri itu tidak meminggirkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, Kempen Pencegahan Jenayah Syariah adalah antara strategi yang diguna pakai untuk mencapai hasrat tersebut.

Jelasnya lagi, kerajaan juga akan menjadikan didikan (kempen) tentang kesalahan jenayah syariah sebagai tumpuan utama berbanding aspek hukuman yang dianggap sebagai fasa terakhir.

"Kesedaran yang paling penting ialah mereka mesti hidup dengan agama walau di mana mereka berada.

"Kita tidak menjadikan hukuman satu penumpuan utama, tidak, penumpuan yang utama adalah didikan, didik untuk memberi kesedaran," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Kempen Pencegahan Kesalahan Jenayah Syariah di Payang Walk, Pesisir Payang semalam.

Turut bersama dalam kempen itu, pegawai-pegawai penguatkuasa daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Katanya, selepas ini kempen itu akan dilebarkan ke setiap daerah dalam negeri Terengganu dengan kerjasama daripada setiap pejabat agama daerah.

"Insya-Allah kita akan bincang dengan pegawai agama daerah masing-masing, untuk melihat kawasan mana yang menjadi tumpuan masyarakat, dan insya-Allah kita akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat," ujarnya.

Kempen yang bermula jam 11.00 malam itu mendapat sambutan baik daripada pengunjung Payang Walk yang rata-ratanya terdiri daripada anak muda.

Edaran risalah serta soal jawab bersama pengunjung merupakan aktiviti yang dijalankan dalam kempen tersebut.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: