Sunday, 27 January 2019

Kemelut TCFC, Perlu Rujuk FAM Segera

SHARE


KUALA TERENGGANU, 27 Januari - Kerajaan negeri sedia membantu kemelut yang dihadapi oleh pasukan Terengganu City FC (TCFC), pun begitu pengurusan pasukan perlulah merujuk segera kepada badan induk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyelesaikan masalah yang makin berlarutan itu secepat mungkin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penyelesaian melibatkan gaji pemain yang tertunggak perlu ditangani dari terus berlarutan.

Katanya, TCFC pasukan di luar pengurusan kerajaan negeri itu juga perlu berhubung dengan FAM untuk mendapatkan wang hadiah kemenangan yang masih belum dituntut dan diagihkan kepada pemain.

"Saya difahamkan (wang hadiah) belum diserahkan oleh FAM kepada mereka dan (berharap) TCFC dapat segera membahagikan kepada pemain.

“Ataupun berurusan langsung dengan FAM dengan menyenaraikan senarai nama bekas pemain dengan menyalurkan terus jumlah kepada mereka,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Hi Tea dan Pelancaran Gabunagn NGO Wanita di Permai Hotel, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri membiayai pengurusan lima pasukan bola sepak negeri iaitu TFC I, TFC II, TFC III, TFC IV dan TFC V.

“Kita di pihak kerajaan negeri mampu lakukan adalah memberikan mereka nasihat agar menyelesaikan masalah ini dengan seberapa segera.

“Saya difahamkan juga bahawa isu yang paling utama dihadapi oleh bekas pemain TCFC ini adalah isu berkaitan dengan gajilah,” jelasnya.



Menurut beliau, berdasarkan pengalaman lalu, tidak kurang RM20 juta diperlukan setahun untuk mentadbir lima pasukan bola sepak tersebut.

“Jadi sudah tentulah bila ada pasukan yang  lain pula (TCFC) maka ia agak  membebankan kewangan kerajaan negeri,” jelasnya.

Terdahulu, TCFC terpalit masalah tunggakan gaji apabila 11 pemain pasukan itu menuntut hak mereka membabitkan nilai tunggakan sebanyak RM321,700.

Sebagai rekod, TCFC meraih kejuaraan Piala FAM musim lalu, selepas menundukkan Selangor United 2-0 pada final di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, September  2018.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: