Thursday, 17 January 2019

Kanopi Kecil Jadi Pusat Pertemuan Dengan Masyarakat

SHARE

KUALA TERENGGANU, 17 Januari - Kanopi kecil di pasar Kampung Tiong, di sini, menjadi medan pertemuan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Cina dengan penduduk seawal pagi bagi berkongsi dan mendapatkan maklumat mengenai pelbagai isu setempat.

Pengerusi MPKK berkenaan, Chua Kim Huat atau lebih dikenali Jefri Chua berkata, dia akan keluar dan duduk seawal jam 7 pagi.

“Saya bertugas di sini seawal 7  pagi untuk kemudahan (masyarakat) DUN (Dewan Undangan Negeri) Bandar khususnya Parlimen Kuala Terengganu.

“Saya memberi perkhidmatan 100 peratus kepada mereka, ada yang berpuas hati dengan 'pejabat bergerak' yang saya buka setiap pagi di pasar pagi Kampung Tiong untuk kemudahan (rakyat) di bandar. Saya wakil kerajaan di sini bagi perkhidmatan semaksimum mungkin kepada masyarakat Bandar khususnya Parlimen Kuala Terengganu," jelasnya.


Beliau yang juga Timbalan Dewan Himpunan Penyokong PAS Negeri Terengganu berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kampung Cina, semalam.

Tambahnya, semua orang haruslah dibantu tanpa mengira bangsa, agama dan politik.


Beliau menjelaskan, masyarakat perlu memahami dan mendapat input yang betul mengenai kerajaan serta pentadbiran masa kini menerusi MPKK.

Jefri Chua juga berharap agar rakyat sentiasa menyokong kerajaan yang memerintah pada hari ini.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: